Skip to main content

MPSP 100% ambil alih pengurusan sisa pepejal - Maimunah

(Dari kiri) AHMAD Kaswan Kassim, Tan Cheong Eng, Mohd. Rizal Hamid (Ahli Majlis MPSP), Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Sharif dan Rezal Huzairi Md. Zaki merakamkan gambar dengan tiga lori baru kompaktor yang baru diterima di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengumumkan pengambilalihan 100 peratus perkhidmatan pelupusan sampah serta pembersihan am di seluruh Seberang Perai mulai 1 Julai lepas.

Yang di-Pertuanya Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak 21 lori kompaktor telahpun dibeli untuk memenuhi keperluan tersebut.

"Majlis dijadualkan menerima 21 buah lori kompaktor yang baru dibeli ini mengikut jadual secara berperingkat, mulai Julai hingga Disember tahun ini," ujar Maimunah kepada wartawan, di Kompleks Ibupejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ke-480 Bil.6/2014  MPSP.

Tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim, serta Sr. Rozali Mohamud (setiausaha MPSP) turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah menjelaskan, seramai 1,743 orang telahpun diambil sebagai pekerja am kontrak, manakala, 467 lain sedang dalam proses lantikan.

Menurut beliau, projek kutipan sampah dilakukan secara dua syif, iaitu dari jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang, dan 5.00 petang hingga 2.00 pagi.

"Ini pelan kontigensi kita untuk melicinkan pengambilan semula pengurusan sisa pepejal, kini," ujar beliau.

Layari laman web rasmi MPSP, www.mpsp.gov.my untuk mendapatkan info mengenai kawasan-kawasan yang disenaraikan dalam syif pertama dan kedua tersebut.