(Dari Kiri) JAMES Yeoh, Dr. Herald Wack, Lim Guan Eng dan Dr. O.K. Weck pada upacara gimik perasmian pembukaan Industri Zestron di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PERAI - Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berharap lebih banyak syarikat peneraju teknologi tinggi dari Jerman membuka industri di Pulau Pinang, apabila Zestron dengan nilai pelaburannya sebanyak RM15 juta membuka kilang di Kawasan Perindustrisn Perai di sini baru-baru ini.
Guan Eng turut berharap Pulau Pinang akan terus menjadi destinasi pelaburan asing pilihan utama di rantau ini disebabkan infrastruktur awamnya yang mementingkan tadbir urus baik, ketelusan dalam membuat dasar serta menggalakkan persaingan demi mengembangkan potensi ekonomi negeri.
Tambah beliau, keupayaan ekonomi negeri ini dapat dibuktikan melalui rekod pelaburan asing langsung (FDI) Pulau Pinang dalam tahun 2010 hingga Ogos 2013 berjumlah RM19.7 bilion, atau hampir 20 peratus daripada FDI negara yang keseluruhannya sebanyak RM103 bilion.
"Terima kasih kerana telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan dengan nilai fasiliti RM15 juta, hari ini secara rasminya ibupejabat industri Zestron Asia yang baru ada di Pulau Pinang.
"Dengan kehadiran Zestron, Pulau Pinang berharap dapat menarik minat lebih banyak syarikat peneraju teknologi tinggi yang mesra alam sekitar ke negeri ini," ujar Guan Eng pada majlis perasmian kilang tersebut di sini.
Pengasas serta pemilik Dr. O K Wack Holdings, Dr. O.K. Wack, presdiennya, Dr. Harald Wack, serta James Yeoh (Pengurus Besar Zestron Precision Asia Tenggara dan Malaysia) turut hadir pada majlis tersebut.
Difahamkan, Zestron menguasai 60 peratus pasaran produk dan perkhidmatan pembersihan jitu berteknologi tinggi global, dengan 35 peratus adalah di pasaran Malaysia.
Di Pulau Pinang sahaja, Zestron menguasai 40 peratus pasaran produk serta perkhidmatan pembersihan jitu berteknologi tinggi, khususnya untuk keperluan peralatan industri.
Guan Eng memberitahu, kejituan teknologi tinggi pembersihan peralatan elektronik yang ditawarkan oleh Zestron di negeri ini kini, antaranya kepada Osram, Bosch, Flextronics, Jabil, National Instruments.
Sebelum itu, Dr. Herald Wack dalam ucapannya memberitahu, pembukaan kilang pertama peringkat Asia Tenggara di Pulau Pinang diputuskan kerana negeri ini mempunyai persekitaran ekonomi yang baik untuk aktiviti pelaburan industri berteknologi tinggi.
Selain di Pulau Pinang, kata Dr. Herald Wack lagi, Zestron turut membuka ibupejabat industrinya di Shenzhen dan Shanghai dekat China, Kanagawa (Jepun), Ingolstadt (Jerman) serta Manassas (Virginia).
"Malaysia, khususnya di Pulau Pinang akan menjadi salah kuasa ekonomi di Asia Tenggara.
"Saya dan kami menyikai Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan penting yang sedang berkembang, peluangnya cukup dinamik serta memberi harapan dan impian kepada mereka (pelabur) untuk datang ke sini," ujar Dr. Herald Wack.
Perkembangan terbaru ini, menurut Guan Eng, sekaligus menyerlahkan Pulau Pinang sebagai pusat industri elektronik dan elektrik (E&E), serta kemudahan-kemudahan bahan industri lain di Malaysia.
No comments:
Post a Comment