04 June 2014

Ubah Tmn. Rekreasi Ampang Jajar jadi hab pendidik luar, cadang YDP MPSP cari CSR

MAIMUNAH (kanan sekali) menyampaikan sijil penghargaan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Permatang To' Kandu yang menyertai Khidmat Sosial Lestari Hijau 2014 di Taman Ampang Jajar baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

PERMATANG PAUH – Syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat membangunkan semula Taman Ampang Jajar seluas 36.3 ekar secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) diharap tampil berbincang dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak RM1.39 juta diperlukan untuk memulihara semula taman rekreasi tersebut dalam tempoh lima tahun ini, supaya boleh dijadikan hub pendidikan luar sekolah bagi institusi pendidikan sekitar Seberang Perai.

“Rancangan ini adalah hasil lawatan kerja saya ke Korea, di mana guru-guru di negara itu menggunakan ruang awam sebagai hub pendidikan sains sekaligus memaksimakan penggunaan ruang awam di negera mereka.

“Saya menyeru mana-mana NGO atau komuniti yang berminat untuk bekerjasama dengan MPSP supaya boleh berbuat demikian dengan menghubungi kami terlebih dahulu,” katanya pada majlis penutupan Program Khidmat Sosial Lestari Hijau 2014 di Sekolah Kebangsaan Permatang To' Kandu baru-baru ini.

Difahamkan, lebih 40 murid Tahun Empat dan Lima sekolah tersebut bersama-sama waris sebelum ini menjalankan CSR di Taman Ampang Jajar.

Mengulas mengenai perancangan hab pendidikan luar, Maimunah menjelaskan 12.43 ekar tanah dekat Taman Ampang Jajar telah dibangunkan, manakala, baki 28.87 ekar lagi masih dalam perancangan.

“Pada 9 November 2007, Kementerian Pelancongan telah membiayai sebanyak RM500,000 untuk menaiktaraf taman ini merangkumi pembinaan tembok sepanjang tepi sungai, membaiki tandas, menaiktaraf plaza dan taman permaianan.

“Manakala, projek pembangunan secara CSR ini pula akan digunakan untuk mewujudkan Tree Bank, Pusat Operasi Tapak Semaian dan Kawasan Hijau di sini,” ujar beliau.

Terdahulu, Kelab Berbasikal LP Mountainbike Seberang Perai Utara menjadi komuniti pertama melaksanakan tanggungjawab CSR di taman ini, dengan membina laluan basikal sepanjang 1.1 kilometer.

Laluan basikal itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Law Choo Kiang pada 20 Januari tahun lepas.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus