Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - I.K.U.T. atau Infaq Kebajikan Ummah Takaful Malaysia Mewakili Suara 20,000 Reverts Islam Pulau Pinang berhasrat mengembangkan sayapnya dengan penyertaan sukarelawan daripada pengamal undang-undang pula.
Penasihat I.K.U.T., Zolkifly Md.Lazim dalam kenyataannya malam tadi memberitahu, syor itu wajar agar kes seumpama tuntutan jenazah Teoh Cheng Cheng yang dipolemikkan sampai ke Mahkamah Tinggi Shariah George Town baru-baru ini tidak berulang lagi.
"Jenazah saudara baru itu akhirnya ditetapkan bukan Islam disebabkan pasukan berwajib gagal mengetepikan beberapa keraguan yang dibangkitkan oleh wakil keluarga Teoh, seperti pertikaian pada proses keislamannya serta dokumentasi berwajib JAIPP.
"Di sinilah pentingnya peranan guaman serta perhatian berterusan untuk saudara baru yang masih hidup di negeri ini.
"Ini kerana, sesungguhnya tiada apa-apa lagi manfaat kepada Si Mati (termasuk yang sempat melafazkan syahadatain) melainkan tiga perkara, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah serta doa anak soleh," ujar Zolkifly yang juga anggota Jawatankuasa Perhubungan PAS Pulau Pinang.
Pengerusi I.K.U.T., AzleyStenley dan Azran Chan (pemudah cara I.K.U.T.) turut menyertai pertemuan ringkas tersebut, di sini.
Justeru, Zolkifly berkata, pihaknya terlebih dahulu akan berbincang hasrat terbaru ini dengan Dr Ahmad Jailani Abdul Ghani, iaitu pengamal undang-undang merangkap AJK PAS Negeri untuk mengembangkan kepakaran bidang perundangan dalam NGO dakwah I.K.U.T..
"Sebagai langkah permulaan, kes jenazah saudara baru ini akan kita bawa berbincang dalam pertemuan tertutup selepas Solat Jumaat ini, bersama-sama beliau (Ahmad Jailani) dan beberapa peguam lagi demi keharmonian rakyat Pulau Pinang yang berbilang agama, kaum serta adat," ujar Zolkifly, sambil memberitahu pihaknya akan berkongsi info lanjut mengenai hasil pertemuan tertutup itu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shariah George Town pada 6 Jun lepas memutuskan Teoh Cheng Cheng yang jatuh dari pangsapurinya Sabtu bukan beragama Islam sewaktu beliau meninggal dunia.
Ketetapan Hakim, Zaim Md. Yudin sekaligus memberi kelebihan kepada keluarga Teoh untuk menuntut mayat wanita berkenaan untuk diurus pengkebumian mengikut kepercayaan mereka.
Zaim dalam penghakimannya memberitahu, ketetapan itu dibuat berdasarkan keraguan pada proses pendaftaran Teoh Cheng Cheng yang dianggap beragama Islam.
Sebelum itu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) turut mengfailkan permohonan untuk mengesahkan keislaman Teoh Cheng Cheng, yang disebut-sebut sejak 17 tahun lepas lagi.
Inisiatif itu, selepas beberapa wakil Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dikatakan cuba mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah Teoh Cheng Cheng, tanpa cakna pada sensitiviti keluarga wanita terbabit.
Bagaimanapun, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dalam satu kenyataan melakukan rasa kesal terhadap amalan wakil JHEAINPP, serta berjanji bahawa insiden seumpama itu tidak berulang lagi kelak.
KAPSYEN GAMBAR:
ZOLKIFLY Md. Lazim (berdiri, lima dari kiri) mengiringi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Tuan Haji Mohamad Sabu (duduk, dua dari kiri) serta
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (duduk, paling kanan) bertemu dengan MAINPP di bawah Yang di-Pertuanya, Datuk Mohd. Salleh Man (duduk, tiga dari kiri) di George Town sebelum ini.
No comments:
Post a Comment