21 April 2014

'Harimau Jelutong' pergi meninggalkan belang, nama

KELIHATAN kaum wartawan dan hadirin berpusu-pusu sesak menyaksikan keranda Karpal Singh diarak keluar dari Dewan Sri Pinang, George Town, semalam.

JALAN Farquhar dekat Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menuju Ke St. Xevier's Institution dibanjiri oleh hadirin, sebagai simbol penghormatan terakhir kepada Tiger of Jelutong Karpal Singh, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Majlis Penghormatan Terakhir Kerajaan Negeri kepada 'Tiger of Jelutong' Karpal Singh di Dewan Sri Pinang, Geogge Town mulai dibanjiri oleh hadirin seawal jam 7.30 pagi dan dianggarkan meningkat ke angka 10,000 orang semasa perarakan menuju ke tapak persemadian Batu Gantung di sini menjelang tengah hari.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia), Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah), Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS Pusat) antara pemimpin negara yang hadir merakamkan takziah kepada keluarga mendiang.

Itu, tidak termasuk kehadiran tidak putus-putus orang kenamaan daripada pihak pembangkang dan Putrajaya yang hadir di rumah mendiang dekat Kebun Bungah sepanjang tiga hari, sejak pagi hari kejadian Jumaat lepas.

Tinjauan mendapati, perarakan keluar mendiang Karpal Singh dari Dewan Sri Pinang sedikit kelam kabut dan terlewat menjelang ke tengah hari, gara-gara orang awam terus berpusu-pusu masuk ke majlis bermakna itu.

Kemudian, ribuan hadirin mengiringi perarakan kenderaan mayat Karpal Singh di beberapa lokasi yang signifikan dengan peribadi ahli politik berpengaruh itu, seperti sekolah lamanya, St. Xavier Institution, pejabatnya di Jalan Gree Hall, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dekat Jalan Farquhar, sebelum dibakar di Jalan Batu Gantung.

Beberapa insiden tegang berlaku, termasuk di Jalan Batu Gantung sehinggakan salah seorang anak kepada Karpal meminta wartawan dan hadirin memberi lebih privasi kepada keluarga terdekat untuk upacara membakar mendiang di sini.

"Si Harimau Jelutong ini bukan lagi meninggalkan belang atau nama, sebab itu sesak sampai sekarang," celah seorang wartawan.


Karpal Singh, 74, dilahirkan di Geortown pada tanggal 28 Jun 1940, dan maut bersama pembantunya, Michael Cornelius Selvam Vellu, 39, maut dalam nahas jalan raya di kilometer 301.6 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira detik 1.30 pagi Khamis, 17 April lalu.

Selepas melanjutkan pelajaran di Sekolat St Vavier, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) Singapura sehingga tahun 1969.

Mendiang sempat menyertai firma Raja Ridzuan & Co. di Alor Setar Kedah pada tahun 1970, sebelum menubuhkan sendiri firma Karpal Singh & Co. pada pada tahun berikutnya.

Karpal Singh mendirikan rumah tangga dengan Gurmit Kaur pada 30 Julai 1970, dan dianugerahi lima cahaya mata, iaitu Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Sangeet dan Mankarpal.

Perjalanan politik Karpal bermula pada tahun 1970 apabila menyertai Parti Tindkaan Demokratik (DAP).

Pertama kali Karpal bertanding pilihan raya umum pada tahun 1974, dan dipilih memenangi kerusi bandar Alor Setar.

Pada tahun 1978, beliau bertanding di kerusi Parlimen Jelutong serta Dewan Undangan Negeri Bukit Gelugor, dan berjaya memenangai kedua-dua kerusi tersebut.

Kelantangannya di mahkamah dan arena politik tanah air mengakibatkan Karpal pernah diheret ke tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.

Tidak lama selepas dibebaskan, Karpal ditahan semula di bawah akta sama pada tahun 1989.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990, Karpal berjaya mengekalkan mandat di Parlimen Jelutong, tetapi, gagal merebut kerusi DUN Padang Kota.

Karpal disebut-sebut sebagai 'Tiger of Jelutong' kerana kewibawaannya sebagai pemimpin berpinsip dengan ketertinggian perlembagaan, walaupun terpaksa ke penjara akibat permainan politik pemerintah.

Karpal, kemudiannya bertanding di Parlimen Bukit Gelugor pada tahun 2004, iaitu kerusi yang baru diwujudkan dan menang.

Karpal turut berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi sama, pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.


Sepanjang hidup bergelar pengamal undang-undang, Karpal dikenali sebagai sebagai pemimpin berprinsip apabila berani membela seorang wanita Islam yang dipecat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak pada awal tahun 1990-an hanya kerana mangsa memakai purdah.

"Beliau (Karpal) bercakap berdasarkan pada apa yang beliau faham pada perlembagaan. Sebab itu pun, beliau membela hak wanita Islam berpurdah dari dipecat oleh SUK Perak," ujar Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kepada wartawan semasa memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di kediaman mendiang baru-baru ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang baru dipilih sebagai ADUN kajang pula memberitahu, Karpal tidak pernah mengambil upah guaman walau sesen sekalipun, sepanjang membela suaminya, Anwar di Mahkamah dalam kes Fitnah Liwat Pertama (bermula tahun 1998) dan Fitnah Liwat Kedua (bermula tahun 2010).

"Saya paling rasa terkilan apabila mendapat tahu yang fail mengenai kes Anwar pun berada dalam kereta yang terlibat dengan kemalangan kerana Karpal mahu mahu meneliti kes itu," ucap Dr. wan Azizah dalam nada sebak pada satu sidang media berasingan di rumah mendiang Karpal.

Karpal bagaikan tahu ajalnya kunjung tiba, apabila melepas semua jawatan parti ekoran Mahkamah Tinggi menetapkan beliau bersalah di bawah Akta Hasutan, didenda RM4,000 serta akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sebelum nahas berlaku pada awal pagi 17 April lepas.

Berehatlah Karpal di sana supaya perjuangan menegakkan keadilan hak diambil alih oleh puluhan ribu rakyat, yang mahu masa depan Malaysia lebih baik kelak.



No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus