PROJEK Tebatan Banjir bernilai RM3.4 juta yang akan dimajukan di Parlimen Bukit Mertajam pada tahun ini turut meliputi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng berkata, beliau akan menyertai lawatan kerja Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada pertengahan bulan Januari ini bagi meninjau lokasi tumpuan banjir teruk tersebut.
"Tempat-tempat yang seringkali banjir antaranya Kampung Padang Lalang, Taman Seri Rambai, Kampung Bukit Kechil, Lorong Nangka (dekat) Taman Desa Damai.
"Dua minggu lagi, Exco Chow Kon Yeow akan turun di sini sekali lagi bagi mengenal pasti kawasan paling teruk mengalami banjir untuk diselesaikan terlebih dahulu," ujar Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pagi tadi.
Chong Eng berkata demikian pada satu sidang media, sebelum mengedarkan 1,700 kalendar tahun 2014 di Pasar Awam Seri Rambai serta beberapa kawasan sekitar yang lain di KADUN Padang Lalang.
Hampir 20 sukarelawan dari Pejabat Khidmat Rakyat KADUN Padang Lalang turut menyertai majlis bertemu rakyat itu.
Terdahulu, Bajet 2014 antara lain menyebut bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.1 juta untuk projek tebatan banjir, termasuk RM3.4 juta khusus di Bukit Mertajam.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta Kon Yeow tidak pula menyebut secara terperinci mengenai cadangan pemajuan projek tebatan banjir dekat parlimen berkenaan, termasuk di KADUN Padang Lalang.
No comments:
Post a Comment