KERAJAAN Negeri
membeli 51 rumah pangsa kos rendah di Taman Seruling Emas dekat Seberang Perai
Selatan (SPS) dan akan dijual kepada pemohon yang layak secara sewa beli pada
kadar RM100 sebulan, tidak termasuk RM20 kos penyelenggaraan tiap-tiap bulan.
Atas maksud itu,
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri akan
mengeluarkan RM71,000 lagi untuk menyediakan kelengkapan asas seperti kipas dan
lampu di kesemua rumah berkenaan demi memberi keselesaan kepada bakal pembeli
yang layak.
Itu, katanya, tidak
termasuk kos RM679,362 yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri bagi membaiki
kerosakan sedia ada di unit-unit rumah tersebut, khususnya pada bahagian
bumbung.
"Memandangkan
cadangan ini dikemukakan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR), maka,
perbincangan lanjut telah dibuat bersama (pemaju) Syarikat Asas Dunia
Berhad," ujar Guan Eng dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.
Menurut beliau,
pengurusan 51 unit rumah ini akan diserahkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri sejurus perjanjian pembelian dan pembaikan selesai
ditandatangani.
"Pengagihan
dan penawaran akan dibuat oleh Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu
Pemilihan Perumahan (SPECS) untuk memastikan pengagihan dibuat secara adil dan
telus kepada golongan yang memerlukan dengan diaudit bersama oleh syarikat
perakaunan," ujar Guan Eng lagi.
Tambah beliau,
pemohon yang layak akan menandatangani perjanjian bersama Kerajaan Negeri di bawah Skim Sewa
Beli pada kadar RM100 sebulan beserta RM20 kos penyelenggaraan tiap-tiap bulan
dalam tempoh 15 tahun.
Terdahulu, Rumah
Pangsa Kos Rendah lima tingkat di Taman Seruling Emas dibina pada tahun 1994,
dengan keluasan setiap unit adalah ada 51 meter persegi (548.96 kaki persegi)
dan mempunyai dua bilik.
Sebanyak 170 unit
rumah di Blok A, manakala, 190 unit lagi di Blok B.
Dari 360 unit rumah
di taman tersebut, 309 unit rumah telahpun diduduki.
Manakala, baki
sebanyak 51 unit rumah masih kosong, iaitu enam unit di Blok A dan 45 unit di
Blok B.
Dalam perbentangan
Bajet 2014 Pulau Pinang lepas, Guan Eng membentangkan pelan Sewa Beli 51 unit
rumah kos rendah tersebut dan dipersetujui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau
Pinang.
Dalam perkembangan
lain, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pinjaman tanpa riba untuk pembelian
104 unit rumah kos rendah jenis 'town house' di Taman Sungai Duri Permai dekat
SPS.
Difahamkan, pembeli perlu membuat pinjaman bank 70 peratus harga pasaran rumah RM38,000 untuk membeli 104 unit rumah berkenaan, manakala, baki 30 peratus lagi adalah pinjaman tanpa faedah daripada Kerajaan Negeri.
No comments:
Post a Comment