06 January 2014

Azizan kudung kaki, kos sara hidup naik pengaruhi trend perniagaan pasar malam P.Pinang

(Dari kiri) Elias Md. Lazim, Jamil Saad, Azizan Jaafar dan Zolkifly Md.Lazim bergambar kenang-kenangan sejurus selesai majlis ramah-mesra di perkarangan Pasar Malam Balik Pulau, malam tadi.


HARGA ikan kembung mencecah RM12 sekilogram sejak awal tahun ini. Udang RM28 sekilogram.

Harga daging dan ayam pun melambung naik hingga pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkali-kali memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna, ekoran kenaikan kos sara hidup rakyat belakangan ini.

Implisitnya, peniaga pula seakan dipersalahkan secara semberono di sebalik kenaikan harga barang asasi serta kos sara hidup rakyat, yang sebenarnya berpunca oleh kelemahan tadbir urus dalam Kerajaan Umno BN Pusat sendiri.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Malam Negeri Pulau Pinang (PPPNPMNPP), Azizan Jaafar dalam reaksi spontan memberitahu bahawa kenaikan kos sara hidup rakyat turut mempengaruhi trend pembelian di pasar malam sendiri.

"Kalau bukan minggu dapat gaji, tak ramai datang ke pasar malam.

"Peniaga-peniaga pun faham kerana kenaikan kos sara hidup turut dihadapi oleh kami yang berniaga di pasar malam," ujar Azizan di Pasar Malam Balik Pulau, malam tadi.

Azizan Potong Kaki
Azizan Jaafar, 46, berniaga di pasar malam sekitar pulau sejak 33 tahun lepas.

Pasar malam adalah tempat beliau sekeluarga menyabung rezeki membesarkan enam anaknya.
Empat anaknya masih bersekolah, berusia antara enam tahun hingga 17 tahun.

Mujur, dua lagi anaknya baru tamat sekolah tingkatan 5, dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang vokasional di GIAT MARA.

Azizan berkata, kehidupannya sedikit dihimpit kesusahan sejak tiga bulan lepas apabila salah satu kakinya telah dipotong atas nasihat doktor demi mencegah penyakit kencing manis (diabetes) dari merebak.

"Pergerakan saya sekarang lebih terbatas, tetapi, saya tiada banyak pilihan walaupun merasai kos (sara) hidup tidak seperti dulu," ujar beliau.

Azizan boleh dihubungi melalui nombor telefon 0125725473, manakala, sumbangan ihsan khalayak boleh melalui akuan Bank Rakyat (Azizan Jaafar) 220521299746.

"Dengan keadaan saya ini, saya baru mohon kad OKU (orang kurang upaya) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dekat Balik Pulau.

"Terima kasih juga kepada Datuk Rashid Hasnon kerana berbuat surat sokongan untuk saya mendapat bantuan daripada Zakat Pulau Pinang," jelas Azizan lagi.

Pasar Malam Sg. Ara akan tutup?
Dalam perkembangan sama, katanya, PPPNPMNPP baru-baru ini ada mengetengahkan kepada Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd.Rashid Hasnon mengenai desas-desus Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (KTMSAB) selaku pemilik tanah berwajib mahu menutup pasar malam Sungai Ara sejurus pemajuan projek perumahan di lokasi itu siap.

Beliau berkata, PPPNPMNPP berharap kepemimpinan Kerajaan Negeri dapat berunding dengan KTMSAB agar pasar malam Sungai Ara dapat dikekalkan di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi PPPNPMNPP, Jamil Saad, 46, turut berkongsi perasaan yang sama.
Jamil berkata, trend pengguna datang ke pasar malam belakangan itu 'tidak semeriah dulu'.

"Dalam persatuan, isu ini seringkali dibincangkan. Azizan dan peniaga lain cukup tabah sebab pasar malam ini tempat kami mencari rezeki.

"Sehinggakan, ada cadangan supaya Kerajaan Negeri membangunkan suatu kawasan khusus untuk peniaga-peniaga Melayu di negeri ini," ujar Jamil.

Pendapat PAS
Perkongsian Azizan dan Jamil itu mendapat reaksi spontan Ahli Jawatankuasa PAS Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim yang secara langsung turut menyertai majlis ramah-mesra tersebut.

"Pasar malam boleh hidup sebab peniaga-peniaga yang bertungkus-lumus menghidupnya. Petaling Street (dekat Kuala Lumpur) boleh hidup sebab peniaga yang memulakannya.

"Uptown Perda dekat Bukit Mertajam boleh hidup hebat sekarang sebab penjaja-penjaja Melayu di situ yang mula menghidupkannya sampai jadi produk pelancongan Pulau Pinang.

"Kerajaan Pusat bina Pusat Komersial Permatang Pauh berdepan dengan UiTM gah, tetapi, 'macam mati' kerana bukan peniaga yang mula menghidupkan kawasan itu. Tetapi, Kerajaan Pusat cuba bina projek tanpa ketabahan semangat peniaga.

"Tengok Bazaar Perdana (dekat Bandar Perda) 'mati' sampai sekarang kerana bangunan itu khabarnya dibina untuk tutup semangat peniaga-peniaga di Pekan Bukit Mertajam dulu," respons Zolkifly.

Justeru, Zolkifly mencadangkan PPPNPMNPP bekerjasama dengan kepemimpinan Kerajaan Negeri, seperti membina kepakaran keusahawanan dalam kalangan ahli persatuan demi memajukan prospek pasar malam masing-masing di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, 'DAP Melayu' Khairul Ishak dan Elias Md. Lazim (aktivis Inteam Bikers) yang turut menyertai majlis interaksi itu masing-masing merakamkan ucapan takziah atas musibah yang menimpa Azizan.


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus