Skip to main content

Perincikan Bajet 2014 untuk luar bandar :Chin Wen

 Dikemaskini 12.05 tengah hari 10 Dis. 2013 
ONG Chin Wen
Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen mencadangkan Kerajaan Negeri supaya memperincikan peruntukan infrastruktur fizikal untuk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang berada di lokasi luar bandar.

Semasa sesi perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town, Chin Wen berkata, perancangan perbekalan Kerajaa Negeri bagi tahun depan tidak menyebut perkara tersebut secara khusus dan jelas.

"Saya minta peruntukan KADUN P16(02) patut mengambil kira peruntukan fizikal yang sangat diperlukan peringkat KADUN di kawasan luar bandar," ujar Chin Wen di luar dewan, tengah hari tadi.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Luar Bandar (kini dikenali sebagai Pembangunan Desa) hanya menerima peruntukan RM100,000 sahaja.

Datuk Law Choo Kiang pernah memegang MMK tersebut pada sesi penggal pentadbiran lepas sebelum menyandang kerusi Speaker DUN Pulau Pinang pada penggal ini.

MMK tersebut, kini, disandang oleh ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

"Itu pun, RM100,000 peruntukan itu lebih pada tujuan latihan dan kemasyarakatan," ujar Chin Wen.

Jumaat lepas, Ketua Meteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membentangkan Bajet 2014 di DUN.

Dalam perbentangan itu, sebanyak RM19.45 juta diperuntukan untuk kemudahan infrastruktur awam, seperti membiayai dan penaiktarafan jalan raya.

RM169.5 juta lain diperuntukan untuk lapan projek baru.

Sebanyak tiga projek sahaja disebut, iaitu cadangan pelebaran Jalan Bukit Minyak-Alma dekat Seberang Perai Tengah (SPT), kedua, projek menaiktaraf jalan dan saliran di Jalan Siram, dekat Seberang Perai Utara (SPU), dan, ketiga, cadangan pembinaan jambatan baru merentasi Sungai di atas laluan P169 Kampung Tanjung Berembang, dekat Seberang Perai Selatan.

"RM49 juta untuk lima lagi projek kemudahan infrastruktur awam di negeri ini wajar disebut secara jelas, diharap meliputi KADUN-KADUN luar bandar lain," ujar Ong Chin Wen.

Bajet 2014 turut menyebut Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan melaksanakan enam projek pasar awam, tiga kompeks makanan dan empat tapak jaja.

Manakala, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pula, menurut Bajet 2014, akan melaksanakan dua projek pasar awam, serta satu projek penaiktarafan kompeks makanan untuk aktiviti peniagaa kecil.

"RM25.08 juta telah diperuntukan oleh MPPP dan RM2.7 juta kepada MPSP, adakah kemudahan infratruktur awam ini meliputi KADUN yang terletak di luar bandar," tanya Chin Wen, wakil rakyat PKR lagi.

Itu, katanya, tidak termasuk projek jalan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) khusus di Seberang Perai, iaitu sebanyak RM84.87 juta diperuntukkan dalam Bajet 2014 berbanding RM41.6 juta bajet serupa pada bagi tahun 2013.

Sebanyak RM9.1 juta untuk projek tebatan banjir pada tahun depan, termasuk RM3.4 juta adalah di kawasan Bukit Mertajam .

"Adakah peruntukan untuk tujuan tebatan banjir itu meliputi beberapa kawasan banjir dalam kawasan DUN Machang Bubuk dan berapakah peruntuhkan infrastruktur fizikal bagi Machang Bubuk," ujar Khai Loon lagi.

Dijangka Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) akan memberi penjelasan khusus mengenai hal yang dibangkitkan oleh Chin Wen pada sesi penggulungan Exco masing-masing kelak.