Skip to main content

Tanpa kronisme TEKUN pun, 1,491 usahawan P.Pinang nikmati RM5.9 juta pinjaman tanpa bunga PTSR

MOHD. Rashid Hasnon (kiri) menyerahkan dana pinjaman PTSR kepada Abd. Mutalib Hanafi (kanan) dalam satu majlis di sini baru-baru ini.  

TANPA perlu menunggu wujudnya sebuah Negara Berkebajikan pun, kerja-kerja amal Islami di Pulau Pinang telahpun berjaya direalisasikan di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Timbalannya, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Amalan Kerajaan Umno Pusat meluluskan permohonan pinjaman Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (TEKUN) kepada kroni-kroni parti asabiah itu mendorong Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri menubuh skim pinjaman makro kredit seumpamanya selepas mengambil alih Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak tahun 2009 telah meluluskan RM5.907 juta pinjaman ‘tanpa bunga’ yang dikenali sebagai Projek Titian Sasama Rakyat (PTSR) kepada 1,491 usahawan kecil di Pulau Pinang.

Mohd. Rashid  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak  berkata, 83.5 peratus atau 1,245 peminjam berwajib adalah Melayu, Cina (7.6 peratus atau 114 peminjam) dan India (8.9 peratus atau 132 peminjam).

“Apa yang lebih menarik, sudah tentu skim ini dipinjamkan tanpa 'bunga' (riba), di samping, tiada cagaran yang perlu dibuat," ujar Mohd. Rashid di sini baru-baru ini.

Mohd. Rashid berkata demikian pada majlis penyerahan pinjaman PTSR kali kelima kepada 49 penerima berwajib.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menawarkan pinjaman mikro kredit serendah RM1,000 hingga RM10,000 demi membantu peniaga kecil mengembangkan prospek perniagaan masing-masing.

Atas inisiatif Kerajaan Negeri, beliau berkata, pihaknya berharap semua penerima berwajib dapat membayar balik pinjaman masing-masing mengikut jadual yang dipersetujui bersama demi memudahkan peniaga-peniaga lain untuk membuat pinjaman serupa.

Itu, katanya, termasuk insiatif Kerajaan Negeri melantik pegawai PTSR untuk pergi ke premis peniagaan peminjam berwajib pada tiap-tiap bulan bagi memungut balik dana yang dipinjam.

Sementara itu, Abdul Mutalib Hanafi, 56, yang ditemui kemudian berkata, beliau akan menggunakan dana pinjaman mikro kredit itu sebagai modal perniagaan nasi campurnya di Taman Teluk dekat Teluk Kumbar.

“Mengikut perancangan, saya akan membeli peralatan-peralatan baru seperti kerusi, meja dan barangan keperluan lain yang sudah rosak dan perlu diganti bagi memenuhi keselesaan pelanggan gerai saya,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri.

Seorang lagi penerima, Yeoh Teoh Yong, 42, berkata, RM4,000 pinjaman yang diterimanya itu akan diguanakan untuk menambah stok pinggan mangkuk di kedai beliau yang terletak di Nibong Tebal.

Manakala seorang lagi penerima C. Devika Chandrasegar, 28, berharap pinjaman tersebut dapat memajukan saloon milik beliau.

“Tujuan pinjaman ini dilakukan adalah untuk membeli mesin dan peralatan keperluan lain di saloon saya, tambahan pula, saya hanya baru memulakan perniagaan pada bulan Jun lalu,” ujar beliau.

PTSR ditubuhkan pada tahun 2009, iaitu pada era Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Negeri.