04 October 2013

Menjawab polemik ahli nak sertai forum 'PAS Dimensi PRU14' di P.Pinang atau Ijtimak Tarbawi 3.0 di Johor pada 5 Okt.

SOALAN:
Mengapa Forum 'PAS Dimensi PRU14' diadakan serentak dengan Ijtimak Tarbawi 3.0 pada 5 Oktober? Apakah penganjur forum cuba sabotaj PAS dengan ikut pengkhianatan Pakaq?

JAWAPAN:
Dr. Yusof al-Qardhawi dalam kitab Min Fiqhu ad-Daulah Fil Islamiyyah ada menulis mengenai satu fahaman amal secara berjemaah adalah suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan, tetapi, kewajipan ini hanya dibataskan pada kumpulan tertentu yang menganggap dirinya sahaja sebagai mewakili kebenaran yang penuh.

Mereka berdalih menggunakan firman Allah yang bermaksud, "maka, tidak ada selepas kebenaran itu melainkan kesesatan." (Surah Yunus:32)

Malah, kumpulan ini seakan cuba memaksa ahli-ahlinya untuk mengikuti program anjuran mereka sahaja atas dalih, itulah satu-satu program tarbiah yang mesti diutamakan, tiada selainnya.

Ahli yang menganjurkan atau menyertai program tarbiah selain daripadanya terus-menerus dituduh tidak wala', pengkhianat parti serta sabotaj program kumpulan berkenaan atas dalih aneh yang lain.

Hadith Rasulullah s.a.w seperti, "jika dibai'ah (dilantik) dua orang khalifah, maka, bunuhlah yang terakhir daripada kedua-duanya," dijadikan antara dalih untuk menjayakan doktrin kumpulan tersebut.

Suka diperjelaskan, sistem demokrasi berpilih raya seperti di Malaysia tidak perlu berbunuh-bunuhan dan hanya seorang perdana menteri akan dipilih.

Apa yang nak disebut di sini, hadith ini sepatutnya dibaca dalam konteks negara berkhalifah, dulu.

Kaedah fiqh menyebut:

Taghaiyyirul ahkam bi taghaiyyirul azman wal amkan wal ahwal

(Perubahan hukum disebabkan perubahan zaman-zaman, tempat-tempat dan kondisi-kondisi)

Sesungguhnya, tarbiah hatta dakwah itu perlu dilaksanakan dalam semua kondisi, tempat dan masa kerana kewajipan ubudiyyah itu ke seluruh alam.

"Dan Allah jualah yang memiliki Timur dan Barat, maka, ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengabdikan diri kepada Allah), maka, di situlah arah Allah redhai..." (Surah al-Baqarah: 115)

Kerja-kerja tarbiah dan dakwah yang pelbagai ini sepatutnya saling diusahakan atas dasar takwa dan kebajikan, bukan doktrin aneh yang didakwa kumpulan tertentu seperti di atas.

"Dan tolong-menolonglah kamu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa..." (Surah al-Maidah: 2)

Atas sebab itu sendiri, dalam konteks kepartian, Dr.Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa tiada larangan pada berbilang-bilang jamaah.

Dr. Yusof al-Qardhawi secara berterus-terang menolak doktrin 'jemaah daripada umat Islam bukannya jamaah al-muslimin'.

Menurut beliau, berbilang parti adalah mazhab dalam politik dan mazhab-mazhab adalah parti dalam fiqh.

Ulamak itu mendapat 'berbilang-bilang jamaah yang bekerja untuk Islam' adalah tidak dilarang (syarak) selagi tidak mampu dicapai rentetan daripada berlainan matlamat, berbezanya manhaj, fahaman dan berlainan tsiqah antara satu sama lain.

Kalau dalam konteks kepartian pun tiada larangan berbilang-bilang jamaah dalam melaksanakan kerja-kerja Islam, berbilang-bilang kerja Islam yang dilakukan secara berjamaah dalam sebuah parti Islam lebih-lebih lagilah tiada larangan.

Sesungguhnya kepelbagaian kerja-kerja Islam dalam jamaah bukan simbol perpecahan dalam jamaah itu sendiri.

Kepelbagaian kerja-kerja Islam, sama ada dilakukan oleh parti Islam atau jamaah Islam yang lain, sebenarnya, akan mempercepatkan lagi penyebaran dakwah dan tarbiah di seluruh alam.

Kepelbagaian kerja-kerja Islam dalam berjamaah kalau didoktrin sebagai khilaf sekalipun, itu di bawah al-ikhtilaf at-tanawu'i (perbezaan dalam kepelbagaian) yang dibenarkan di sisi syarak.

Dr. Yusof al-Qardhawi berkata, al-Ikhtilaf at-tanaqudhi (perbezaan dalam pertembungan) sahaja yang dilarang duit sisi syarak.

Contoh 1:
Kerajaan Perpaduan (UG) dengan Umno di bawah kategori al-ikhtilaf at-tanaqudhi kerana idea itu bukan sahaja bertentangan dengan dalalah nas serta perlembagaan PAS, bahkan, memanjangkan kezaliman parti asobiah itu sendiri.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat zalim, maka (jika kamu melakukan demikian), kamu kelak dibakar api neraka..." (Surah Hud:113)

Contoh 2:
Liqa' Fikri PAS Pulau Pinang baru-baru ini yang dilihat cuba mengaitkan dua pemimpin PAS Pusat - Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr.Dzulkefly Ahmad - dengan faham Islam Liberal nyata lebih mendekati al-Ikhtilaf at-Tanaqudhi jika menyemarak fitnah.

Liqa' Fikri berkenaan didakwa bukan program rasmi parti kerana tiada minit mesyuarat perhubungan PAS Pusat mengarahkannya.

Program berunsur doktrin aneh sempena saingan Muktamar PAS pada November itu, dilaporkan, turut tidak mendapat restu daripada Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd.Salleh Man dan Ustaz Soid Md. Amin (Ketua Urusan Ulamak PAS Pulau Pinang), sehingga terpaksa dianjurkan oleh Lajnah Tarbiah Pemuda PAS Pulau Pinang di bawah "Mad Taliban".

Bagaimanapun, liqa' fikr itu boleh dijadikan medan debat untuk mendedah doktrin batil lagi fitnah terhadap dua AJK Pas Pusat tersebut.

"Apakah kamu tidak memperhatikan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai tuhannya (Allah), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhan-ku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. Nabi Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari Timur, oleh itu terbitkanlah ia (matahari) dari Barat? Maka terdiam orang yang kufur itu. Dan, ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (Surah al-Baqarah: 258)

Liqa' fikr itu boleh dijadikan medan untuk menyemarak budaya musyawarah secara ilmiah dan kolektif.

"Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan keduniaan) itu. Kemudian, apabila kamu telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk berbuat sesuatu), maka, bertawakallah kepada Allah." (Surah Ali Iimran: 159)

Liqa' fikr itu boleh dijadikan medan untuk mempertahan tahalluf siyasi (perjanjian politik) PAS bersama DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat (PR) dari dimusnahkan oleh pihak tertentu (pro UG) demi memelihara imej Islam sebagai agama yang adil.

"Dan tepatilah perjanjian Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kami mencabuli sumpah (perjanjian) kamu setelah kamu menguatkannya, sedangkan kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu." (Surah an-Nahl: 91)

Contoh 3:
Inisiatif Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional DPPN, Sdr. Faruk bersama-sama beberapa pemimpin pemuda peringkat kawasan dekat Pulau Pinang serta saya, Zainulfaqar Yaacob (Ahli Seumur Hidup PAS Kawasan Batu Kawan) mengadakan Wacana Ilmiah: PAS Dimensi PRU14 itu sebenarnya nyata mendekati al-Ikhtilaf at-Tanawu'i.

Panelis forum pada Sabtu, 5 Oktober di Taman Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang tersebut bukan disampaikan oleh pemimpin Umno yang asabiah atau pro-UG.

Sebaiknya, mereka, Khalid Samad (AJK PAS Pusat), Zulhazmi Shariff (peguam muda PAS/KASE) dan Ustaz Wan Ji at-Ta'addudi (Ahli PAS merangkap Pengasas Sekolah Pemikir Asy-Syatibi). Saya, moderator forum ini.

Takkan kerana perbezaan pendapat dalam kepelbagaian (al-ikhtilaf at-tanawu'i) ini, mereka secara semberono boleh dilabelkan sabotaj, tidak wala' atau pengkhianat jamaah PAS?

Wajarlah mereka yang mengembangkan politik dakwah serta tarbiah dalam dimensi PAS ini dakwa sabotaj, tidak wala' atau pengkhianat parti semata-mata tidak menyertai program Ijtimak Tarbawi 3.0 pada tempoh yang sama di Kundang Ulu, Muar, Johor?

Takkan kerana semua panelis seringkali dilihat melintasi pendapat fiqh yang berbeza dengan grup UG, maka, mereka ini wajar dijauhi melalui kaedah doktrin aneh serta politik fitnah?

Ijtimak itu, statusnya sebagai program tarbiah yang perlu diutamakan semata-mata, bukan kewajipan yang mengikat ketat sebagaimana yang didoktrin atau dipaksa oleh segelintir pemimpin pemuda PAS tertentu di Pulau Pinang, sekarang.

Ini kerana, tiap-tiap jundiyyah (ahli-ahli PAS) mempunyai urusan, komitmen, keutamaan, perancangan dakwah serta keupayaan yang berbeza-beza.

"Allah tidak akan memberati seorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya..." (Surah al-Baqarah: 286)

Apakah penganjuran Ijtimak Tarbawi 3.0 di Johor sekaligus mengharamkan ahli-ahlinya dari menganjurkan atau menyertai kerja-kerja Islam yang lain di Pulau Pinang?

Mana lebih wajar bagi seorang yang tiada upaya untuk menyertai program Ijtimak Tarbawi 3.0, buang masa sia-sia di Pulau Pinang pada 5 Oktober tersebut atau menyertai kerja-kerja Islam yang lain seperti 'Forum Siasah: PAS Dimensi PRU14?' ini?

Sesungguhnya, masih banyak kerja agama (atau program bermanfaat untuk jamaah Islam PAS) yang boleh disertai di Pulau Pinang pada hari Sabtu ini, jika ahli-ahli tiada upaya menyertai program Ijtimak Tarbawi 3.0 di Johor. Antaranya:

"Kampung Kami Tempat Tumpah Darah Kami", iaitu Kempen Derma Darah anjuran Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) dengan partisipasi Badan Bertindak Selamatkan 52 Rumah Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh, Bukit Mertajam
8.30 pagi hingga 11.30 pagi.
[Zainulfaqar merupakan salah seorang teraju utama program aktivis itu]

Forum Siasah: PAS Dimensi PRU14?
8.30 malam - 11.30 malam
Dewan JKKK Taman Tun Sardon, Gelugor.
[Zainulfaqar merupakan moderator forum]

Local Democracy Festival 2013
6.30 petang hingga 8.30 malam
Padang Kota Lama, George Town.
[Zainulfaqar merupakan speaker utama pada majlis perasmian, 7.00 malam]

Forum - TPPA: Implikasi Terhadap Rakyat Malaysia
8.30 malam hingga 11.30 malam
Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town
[AJK PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan salah Panelis forum. Pertanyaan sila hubungi 0195669518]

Dr Yusuf al-Qardhawi berkata, kaedah fiqh (qawa'id al-fiqqiyah) antara lain menyebut:

Al-hukmu 'ala sya'in far'un 'an tasuwurihi

(Hukum terhadap suatu itu adalah lahir dari gambarannya)

Justeru, bacalah dan fahamilah wacana fiqh ini demi mengelak dari doktrin aneh serta politik fitnah pihak tertentu yang tidak selesa dengan arus perubahan dalam PAS, sekarang.

Nahnu du'a wa lasna qudha' (kami semua pendakwah, bukannya penghukum).

__________
ZAINULFAQAR YAACOB merupakan ahli seumur hidup PAS bagi kawasan Batu Kawan. Penulis adalah fotojurnalis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya (2003-2006). faqar.blogspot.com | zainulfaqary@gmail.com | 0194241583.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus