Skip to main content

TKM1 harap banyak NGO dakwah cakna muallaf

MOHD. Rashid Hasnon (kanan) menyampaikan penghargaan kepada Parid Sheikh Ahmad dalam sau majlis di sini baru-baru ini.
TiMBALAN Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon berharap lebih banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memberi sokongan kepada golongan saudara baru memeluk Islam (muallaf).

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan berbuka puasa bersama-sama sekumpulan muallaf anjuran Hidayah Centre Foundation Pulau Pinang (HCF) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

“Saya juga ingin menasihatkan saudara baru yang menghadapi ujian setelah memeluk Islam supaya jangan lemah dan bersedih, hadapilah dengan tabah dan sabar segala ujian ini dengan sokongan badan-badan dakwah ini,” ujar beliau di Kompleks Tabung Haji di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Sohibul Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad (Mufti Negeri Pulau Pinang), Mariah Ismail (Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP) dan Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad (Presiden IKRAM) turut hadir pada majlis kasih sayang bertemakan Journey to Jannah itu.

Sebelum pada itu, Pengerusi HCF, Yusni Ghazali berkata, pihaknya komited membantu muallaf di negeri berkenaan.   

“Misi pertubuhan ini ialah untuk menyebarluaskan fikrah Islam...memberi khidmat sokongan kepada saudara baru. Sudah pasti HCF memberi fokus kepada masyarakat Pulau Pinang,” ujar beliau.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan hubungan tidak langsung kepemimpinan Kerajaan Negeri dengan NGO dakwah Islamiah demi memartabatkan Islam di negeri berkenaan sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.