PENAMA terdahulu yang mewakafkan tanah mereka di Pulau Pinang wajar diabadikan sebagai ikon umat Islam sekarang.
Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kepada penerima manfaat wakaf peringkat negeri di Kompleks Warga Emas Darul Hannan, Kepala Batas baru-baru ini.
"Pengorbanan generasi terdahulu ini perlu diingati. (Justeru,) saya mencadangkan nama mereka ini diabadikan sebagai ikon umat Islam kita (warga Pulau Pinang)," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussein, Datuk Jahara Hamid (Yang di-Pertua Darul Hannan), Rosidi Hussain (Penolong Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang) turut hadir pada majlis itu.
Mohd Salleh berkata, Pusat Peniagaan Wakaf Seetee Aisah, Jalan Tun Hussein Onn berdekatan Lebuh raya Seberang Jaya itu merupakan antara simbol kejayaan mengayakan manfaat wakaf di negeri berkenaan.
"Usaha mengayakan manfaat wakaf ini tidak mungkin dapat dilihat seperti sekarang sekiranya insan muka bernama Seetee Aisah Mahmood tidak berkorban mewakafkan sebidang tanah di sana (Seberang Jaya)," ujar Mohd. Salleh.
Difahamkan, MAINPP dengan usaha sama pemaju UDA Holdings Berhad pada November tahun lepas berjaya menyiapkan bangunan dua tingkat yang terdiri oleh 27 lot kedai, selain, 75 unit rumah jenis teres dua tingkat di atas tanah wakaf tersebut.
Projek hartanah umat Islam itu dianggarkan menelan belanja kasar kira-kira RM24 juta.
Hasil pemajuan projek itu, pemaju menyerah hak milik bangunan komersial itu kepada MAINPP dengan anggaran manfaat wakaf yang dikayakan bernilai kira-kira RM10.9 juta.
Mohd. Salleh turut memuji beberapa peribadi pewakaf lain seperti Tengku Syed Hussain Al-Idid, iaitu bangsawan berketurunan Arab Yaman yang belayar dari Acheh ke Pulau Pinang, lalu, mewakafkan tanahnya sehingga terdirinya masjid tertua di negeri berkenaan dekat Lebuh Acheh, George Town.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Salleh berkata, ibadah wakaf merupakan salah satu cara untuk memelihara hartanah serta manfaatnya supaya terus kekal berlegar dalam kalangan umat Islam sahaja.
No comments:
Post a Comment