(DARI KIRI): A.Rajendran, Osman Amir, Addnan Mohd. Razali, Yap Soo Huey, Cheah Kah Peng dan Ang Aing Thye menunjukkan peta laluan sehala baru berwajib dalam satu sidang media di sini baru-baru ini. |
MAJLiS Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengubah sistem 20 jalan utama sekitar George
Town pada laluan sehala demi mengurai kesesakan trafik terutama pada waktu
puncak di sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon
Yeow berkata, ujian pelaksanaan selama tiga bulan bermula pada 27 Julai lepas
itu membabitkan Jalan Burmah, Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Jalan Bagan Jermal
dan Persiaran Gurney kerana jalan-jalan radial utama itu antara yang dikenal
pasti menghubungkan kawasan George Town ke pusat bandar.
“Jalan-jalan terlibat tidak mempunyai ruang untuk dilebarkan lagi.
Jalan-jalan baru sebagai jalan pintas (by-pass)
telah dicadangkan melalui kawasan ini.
“Bagaimanapun, sementara jalan-jalan ini dikaji dengan lebih lanjut,
tindakan-tindakan interim perlu diambil untuk menambah baik aliran lalulintas
sedia ada,” ujarnya ketika di Komtar, George Town baru-baru ini.
Setiausaha MPPP, Ir. Ang Aing Thye, Cheah Kah Peng (ADUN Kebun Bungah), Yap
Soo Huey (ADUN Pulau Tikus), Addnan Mohd. Razali (Pengarah Kejuruteraan MPPP)
dan Ir. A. Rajendran (Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP) turut hadir pada
sidang media itu.
Untuk tujuan itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Padang Kota berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memasang papan-papan
tanda lalulintas, arah laluan dan amaran sebagai panduan kepada orang ramai.
“Khidmat pihak polis dan penguatkuasa MPPP turut digunakan untuk memantau
keadaan traffik pada waktu-waktu puncak,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, penyusunan semula laluan-laluan sehala itu turut
membabitkan arah laluan bas awam Rapid Penang, iaitu laluan 101, 102, 103, 104,
10 dan 304.
Bercakap pada sidang media yang sama, Pegawai Sokongan Strategik Rapid
Penang, Osman Amir berkata, perubahan arah laluan bas kebanyakannya adalah sama,
kecuali laluan 103 kerana laluan yang baru tidak akan melalui Teluk Bahang dan
juga Jeti.
Sementara itu, katanya lagi, perubahan di laluan 104 yang sebelumnya
membabitkan Jalan Burmah akan ditambahbaik bagi membolehkan bas melalui kawasan
Mount Erskine.
“Kita (Rapid Penang) akan
memaparkan peta laluan baru di laman sesawang Rapid Penang, Facebook
dan juga Twitter bagi memudahkan para
pengguna bas mengakses laluan bas yang baru.
“Selain itu, peta dan risalah turut akan dilekatkan dan diedarkan di
stesen-stesen bas sebagai notis kepada pengguna.
"Beberapa buah stesen bas baru akan diwujudkan di beberapa lokasi yang
telah dikenalpasti,” ujarnya.
Orang ramai boleh memberikan maklum balas atau komen dan cadangan secara
bertulis kepada Pengarah Kejuruteraan MPPP, Tingkat 13, Kompleks Tun Abdul
Razak (KOMTAR), 10675, Pulau Pinang ataupun menghubungi talian
04-2592205/04-2592202 atau melalui emel kepada zainuddin@mppp.gov.my.
No comments:
Post a Comment