Skip to main content

P.Pinang galak tazkirah Ramadan - Exco Agama

KERAJAAN Negeri menggalakkan semua pentadbiran masjid kariah mengadakan program tazkirah sepanjang bulan Ramadan demi menyemarak lagi penghayatan Islam yang sebenar dalam kalangan umat.

Justeru, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (gambar) berkata, larang tazkirah sempena bulan puasa yang lazim di negeri-negeri tertentu tidak akan dikuatkuasa di Pulau Pinang.

"Tazkirah yang dilakukan merupakan satu alternatif yang baik bagi mengajar dan mendidik manusia.

”Tiada halangan (untuk bertazkirah) dan menggalakkan mana-mana masjid yang ingin mengadakan tazkirah (sempena menyambut) Ramadan,” ujar beliau dalam satu sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, George Town baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi pada isu larangan tazkirah di negeri-negeri tertentu yang dibangkitkan pada mesyuarat penggal pertama DUN Pulau Pinang Ke-13.

Mengulas mengenai perbezaan fiqh ibadah yang turut dibangkitkan dalam dewan, beliau berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan solat taraweh 20 rakaat, tetapi, tidak menghalang ibadah sunat itu didirikan dalam 8 rakaat.

Beliau berkata, perbezaan pendapat fiqh mengenai ibadat sunat itu tidak wajar ditajamkan demi keharmonian umat Islam di negeri berkenaan. -END