KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Penang Paradigm atau Paradigma Pulau Pinang mampu mengantarabangsa negeri berkenaan sebagaimana diimpikan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, pelan induk pembangunan sepuluh tahun (2013-2023) itu mampu direalisasikan kerana proposal perancangan menumpu pada aspek kecerdasan ekonomi, kesesuaian, kelestarian serta pembangunan sosial yang mapan.
"(Paradigma Pulau Pinang) penting ke arah merealisasikan aspirasi Pulau Pinang ke arah pengantarabangsaan,” ujarnya dalam Seminar Promosi Pelaburan Negeri Pulau Pinang di Singapura baru-baru ini.
Beliau berkata, pelan tersebut digagaskan ke arah meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menyurai kesesakan trafik, menyediakan secukupnya rumah mampu milik serta menjadikan negeri berkenaan lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.
"Kita perlu terus membina kemahiran dan institusi yang akan menyokong kepelbagaian, seterusnya ke arah pelaburan produktif yang lebih tinggi melalui peningkatan modal insan.
“Ketidaksamaan sosio-ekonomi masa kini menjadi halangan kepada pertumbuhan ekonomi, namun, melalui program-program kebajikan Kerajaan Negeri, kita yakin kita berada di landasan yang betul,” ujar Ahli Parlimen Bagan itu lagi.
Justeru, beliau berharap Paradigma Pulau Pinang akan terus memacu Pulau Pinang meneraju pembangunan dan kemajuan di negara ini.
Berikut adalah lima langkah pelaksanaan yang digariskan dalam Penang Paradigm:
- Membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang sosio-ekonomi.
- Melaksanakan dasar hijau untuk mencapai kelestarian alam sekitar.
- Membangun, menarik dan mengekalkan modal insan diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
- Memperkasa rakyat melalui proses demokrasi.
- Memerangi rasuah dan kronisme melalui tadbir urus yang cekap, akauntabel, telus serta bersih.
No comments:
Post a Comment