Skip to main content

De'Pauh dapat Sijil Halal

(DARI KIRI): Mohamad Jamaluddin, Afif Bahardin, Abdul Malik Abul Kassim, Mohd. Rodzi Abu Bakar, Mohd. Salleh Man dan Faizal Ibrahim dalam majlis penyampaian Sijil Halal di sini baru-baru ini.

KERAJAAN Negeri melalui Penang International Halal Hub (Halal Penang) baru-baru ini menyerah Sijil Halal kepada pengusaha Restoran De'Pauh dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri senantiasa membantu semua pihak yang terpanggil untuk memohon Sijil Halal demi memajukan perniagaan mereka masing-masing.

"Tahniah kerana ini antara restoran pengusaha Melayu yang berjaya memenuhi piawaian halal yang ditetapkan dan hari ini pengusahanya mendapat Sijil (Halal).

"Kita sentiasa membantu semua pihak kerana kita sendiri menyedari bahawa pengusah-pengusaha premis komersial yang datang kepada kita menganggap Sijil Halal ini adalah (mendekati) tuntutan agama serta mempunyai prospek untuk memajukan perniagaan mereka," ujar beliau.

Beliau bersama-sama Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man kemudiannya menyerah Sijil Halal kepada Pengarah Urusan Restoran De'Pauh, Mohd. Rodzi Abu Bakar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Mohd. Jamaluddin (Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah, SPT) dan Faizal Ibrahim (Ketua Penolong Pengarah Halal Penang turut hadir pada majlis ringkas tersebut.

Mohd. Rodzi yang ditemui kemudian berkata, beliau berharap inisiatif mendapatkan Sijil Halal itu dapat memberi motivasi tidak langsung kepada pengusaha Melayu lain di negeri berkenaan.

"Bukan mudah untuk mendapatkan Sijil Halal ini kerana pembekal makanan ke restoran ini pun disemak kedudukannya sama ada betul-betul membekalkan bahan mentah bersih (serta) halal atau sebaliknya.

"Pelanggan, khususnya orang Islam sendiri tentu lebih yakin dengan kita...ini mungkin boleh jadi motivasi bagi Melayu lain yang memajukan restoran mereka secara komersial (dengan mendapatkan Sijil Halal)," ujar beliau.