Aku Janji yang diumum oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mencerminkan Barisan Nasional mengemis undi rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) Rahmad Isahak berkata, macam-macam janji politik dimuat dalam manifesto Barisan Nasional kerana pentadbiran Najib sekarang tiada integriti untuk meyakinkan sokongan rakyat.
Justeru katanya, maruah rakyat cuba dibeli dengan wang ringgit seperti Aku Janji Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) RM1,200 secara beransur-ansur jika BN kekal memerintah Putrajaya kelak.
"Aku Janji BN ini adalah lebih menjurus pada merasuah maruah pengundi dan pihak kami (KMPP) amat yakin rakyat secara majoritinya tidak bodoh dalam menilai situasi berkenaan.
"Mereka (Barisan Nasional) terpaksa mengemis undi rakyat kerana mereka tiada apa-apa rekod integriti untuk meyakinkan rakyat dalam pilihan raya umum kali ini," ujar Rahmad di Komtar, George Town petang tadi.
Dari segi lain, Rahmad berkata, Aku Janji yang didakwa menciplak manifesto Pakatan Rakyat sekaligus menyerlahkan idea-idea pembangkang yang dipertikai kononnya membankrapkan negara sebenarnya nyata relevan serta realistik menguntungkan rakyat.
"Secara teori yang munasabah, pengundi sudah dapat menilai manifesto BN hanya mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
"Tanpa sumbangan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat seperti di Pulau Pulang memberi sumbangan tunai terus kepada rakyat, pemimpin Barisan Nasional mungkin tiada masa dan belas ehsan untuk buat kerja-kerja kebajikan melainkan mencuri hak rakyat untuk kepentingan diri sendiri," sindir Rahmad.
No comments:
Post a Comment