KUALA LUMPUR, 16 FEB: Ahli Parlimen Pekan merangkap Perdana Menteri Najib Razak digesa memohon maaf kepada kumpulan mahasiswa yang diserang oleh samseng-samseng UMNO di Pekan, Pahang semalam.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya hari ini meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan ganas pihak-pihak tersebut ke atas mahasiswa yang secara tiba-tiba diserang sekumpulan samseng ketika sedang mengedar risalah.
Wakil Gerakan Mahasiswa PRU ke-13 (GM-13), Ekhsan Bukhari, dilaporkan berkata, “tiba-tiba kumpulan 100 samseng di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan mengepung kami. Ada yang kena sepak, tampar, terajang. Mahasiswi pula kena tarik tudung.”
Zairil menyifatkan budaya politik samseng yang dilakukan itu adalah amat keji dan memperlihatkan didikan dan kapasiti minda yang dangkal.
“Apatah lagi apabila ia berlaku di Pekan, iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri sendiri. Tidakkah ini memalukan Perdana Menteri, apabila siswa-siswi yang tidak bersalah telah disepak terajang malah ada siswi yang dilaporkan ditarik tudungnya?
“Sebagai Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak sepatutnya bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak buahnya untuk berhujah dengan akal. Sebaliknya, mereka hanya mampu menganiaya sekumpulan anak muda dengan kekerasan,” ujar beliau.
Menurut Zairil lagi, DAP menghormati hak mahasiswa yang ingin menyertai proses demokrasi secara langsung, serta hak mereka untuk menyuarakan sebarang bantahan dan tuntutan melalui apa cara sekalipun selagi ia tidak melanggar undang-undang.
“Lagipun, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti di Parlimen tahun lalu tambah mengabsahkan hak mahasiswa untuk berpolitik,” katanya.
Zairil berkata budaya politik samseng UMNO ini amat ketinggalan zaman dan mewajarkan lagi kejatuhan mereka daripada persada politik tanah air.
“Budaya politik samseng ini mesti ditolak, dan UMNO wajar mendidik penyokong-penyokongnya untuk menghormati demokrasi dan berlawan politik secara beradab. Cabaran politik harus disahut dengan hati dan dada yang lapang dan bukan dengan keganasan,” tambah beliau.
“Saya menyeru kepada Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak, supaya memperbetulkan kesilapan anak-anak buahnya dan meminta maaf kepada para mahasiswa yang telah dianiaya dengan keganasan yang melampau.” – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment