Skip to main content

MPSP cari RM12 juta sumber pendapatan baru 2013

MAJLIS Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mencari sumber pendapatan baru berjumlah RM12 juta bagi menampung belanjawan defisit dalam Bajet MPSP 2013 yang dianggarkan RM10,348,214.

Yang Dipertuanya, Maimunah Mohd. Sharif berkata, cukai kadaran yang dikenakan ke atas bangunan-bangunan baru, caj billboard dan talian paip gas Petronas antara sumber pendapatan baru yang menjadi fokus majlis.

"Melalui bajet yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri, anggaran pendapatan MPSP berjumlah RM200,935,630 dan perbelanjaan berjumlah RM211,283,844.

"MPSP perlu merangka strategi supaya kedudukan kewangan MPSP sentiasa mampan," ujar beliau pagi tadi sempena Perhimpunan Korporat di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Masjid dan Syed Mikael Rizal Aidid (Ahli Majlis baru) turut hadir dalam majlis rasmi itu.

Maimunah berkata, hasil juga akan ditingkatkan melalui pengurusan harta Majlis seperti sewaan-sewaan baru, semakan sewa, jualan dan pelupusan.

Malah, katanya, hasil tambahan juga akan ditingkatkan melalui penjualan aplikasi komputer dan perkhidmatan data.

"Penambahan hasil bukan cukai sebanyak RM5 juta akan diperoleh melalui caj rezoning/development dan caj-caj yang lebih kompetitif untuk lesen dan sewaan," ujar beliau di depan hampir 100 warga kerja MPSP.

Berucap dalam majlis rasmi empat bulan sekali itu, Maimunah turut menjelaskan semula mengenai '7 Fokus MPSP 2013' melalui 37 program dan 87 aktiviti yang merupakan kesinambungan 'Fokus 2012'.

'7 Fokus MPSP 2013' yang dimaksudkan adalah:
1. Persekitaran Bersih
2. Mitigasi Banjir
3. Penyertaan dan Kesejahteraan Komuniti
4. Pengindahan dan Penghijauan
5. Penguatkuasaan Bersepadu
6. Pengukuhan Keupayaan Kewangan
7. Pembinaan Kapasiti