zainulfaqary@gmail.com | +60194241583

Monday, 8 October 2012

Bekas Atendan Parkir MPPP ada 'Master'


PERCAYA atau tidak, seorang bekas atendan parkir di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ada ijazah peringkat sarjana atau "master" dalam pentadbiran awam dan kini sedang menyimpan azam untuk mendapatkan ijazah kedoktoran (PhD) dalam disiplin pengajian yang sama.

Dari azam memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tergendala akibat keadaan keluarga tidak mempunyai sumber pendapatan mencukupi semasa tiga puluh tahun lalu, kini wibawa peribadi Xavier a/l A.Pitchay @ Sebastian, 51, dikatakan senantiasa meniti di bibir pekerja-pekerja bawahan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

"Saya memang nak masuk Universiti Awam selepas menduduki peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia) sebab teringin nak jadi mahasiswa tetapi selepas mendiang ayah saya bersara, keluarga saya tak mampu.

"Pada tahun 1980, ketika itu, saya jadi atendan letak kereta di Jalan King Street selama tiga bulan...mula-mula kerja di majlis (MPPP) dan selepas itu saya masuk semula tingkatan enam sebab teringin nak masuk universiti awam," ujar beliau semasa diwawancara oleh ZAINULFAQAR YAACOB.

30 tahun berkhidmat dalam MPPP, Xavier berkata, beliau juga pernah ditaklifkan sebagai Penolong Juruukur Sementara di Jabatan Pembangunan MPPP bermula Oktober 1982 hingga Julai 1984, Pembantu Kesihatan Awam (Julai 1984 hingga Disember 2010) dan kini sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Kesihatan Awam dan Pelesenan MPPP.

"Selepas tamat Tingkatan Enam, saya masuk semula di majlis sebagai Penolong Juruukur Sementara dengan gaji RM13.85 sehari...ada kerja, ada gaji. Jika cuti, tiada gaji.

Sungguhpun bekerja secara kontrak, beliau berkata, semangatnya untuk masuk ke IPTA tidak pernah padam.

Ditambah dengan dorongan rakan sekerja, katanya lagi, menjadi sumbu perjuangan hidup sehingga kini.

"Rakan-rakan sekerja paling banyak memberi dorongan. Majlis (MPPP) ini seolah-olah macam keluarga saya kerana rakan-rakan saya senantiada memberi dorongan untuk saya masuk universiti awam sepertimana yang selalu diingatkan oleh mendiang ayah saya," ujar beliau.

Pada tahun 2000, beliau dipilih menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah dalam jurusan pentadbiran awam atas tiket STPM yang didudukinya buat kali yang kedua.

"Selepas lima tahun, saya dapat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam Kelas Dua Atas. Selepas itu, boleh dikatakan saya cipta rekod apabila dipilih menjadi pembantu kesihatan awam di majlis dengan memegang segulung ijazah...kelayakan memegang jawatan itu adalah SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja.

"Selepas itu, hampir dua tahun, saya tidak bekerja dan mungkin saya akan meninggalkan majlis kerana bercadang untuk mengajar. Tetapi, untuk bersyarah, sekurang-kurangnya mesti mempunyai 'Master'.

"Sokongan kawan-kawan lah, jadi saya sambung di Universiti Sains Malaysia (USM), George Town pada tahun 2008 dan pada tahun 2010, saya graduasi sebagai Sarjana dalam Pentadbiran Awam.

"Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya kawan-kawan yang baik di majlis ini. Saya ada majikan (MPPP) yang baik, ketua jabatan dulu dan sekarang yang baik serta rakan-rakan sekerja yang sangat memberi dorongan," ujar beliau.

"Dengan rekod perkhidmatan saya yang diiktiraf baik, selepas (mempunyai 'Master') itu, saya terus memohon sebagai pegawai tadbir atau Penolong Pengarah dan saya dapat kerja ini (Penolong Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Kesihatan  Awam dan Perlesenan, MPPP) pada November 2010 (iaitu) sebaik saja saya mendapat Ijazah Sarjana.

"Maka, saya memang bercadang untuk mendapatkan PhD, kemungkinan saya akan sambung belajar dan mungkin menangguh perkhidmatan saya di majlis kerana jawatan saya sekarang ini menuntut saya hampir tiada masa lapang," ujar beliau.

Beliau mengaku, beliau begitu ghairah bekerja di MPPP dan budaya kerja itu turut mencuri perhatian oleh isterinya, Rani Kaur yang berkerjaya sebagai Pegawai di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Pulau Pinang juga.

Beliau berkata, kadangkala, masa bersama-sama isteri dan tiga anak - Leon Kevin Sebastian, Erick Ashvin Sebastian dan Jusstina Xevier - "dicuri" untuk menyertai operasi-operasi penguatkuasaan, termasuk pada hari cuti hujung minggu.

"Walaupun kerja saya lebih menumpu pada aspek pentadbiran di majlis ini, saya masih menyertai operasi-operasi bersama-sama kakitangan bawahan kerana itu cara bekerja saya di sini sejak dulu.

"Amalan saya membawa beg plastik yang dikitar semula dari plastik bungkusan roti, senantiasa ada dalam beg galas saya dan selalu jadi perhatian isteri dan anak-anak.

"Sampah yang dijumpai di jalan, akan saya pungut sampai anak-anak saya kata, 'biar kami yang pungut'. Ini amalan yang mesti diterapkan secara pendidikan harian sejak di rumah.

"Saya bersyukur kerana pengalaman bekerja dan belajar di universiti awam pada usia 'veteran' menjadi sumbu perjuangan untuk anak-anak dan mereka juga bangga dengan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) dan majikan saya (MPPP)," ujar beliau.

Berkat bekerja di MPPP, beliau berkata, Leon Kevin kini bergelar sebagai 'Chef' di Singapura selepa graduasi dari Kolej KDU, Pulau Pinang dan Universiti Atlanta, Amerika Syarikat.

Erick Ashvin pula, katanya, merupakan penuntut di Kolej Adventist serta bakal bergelar Jururawat Terlatih pada Julai tahun depan.

Manaka Jusstina, katanya lagi, masih belajar di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Convent Green Lane, George Town.

CABARAN
Beliau berkata, kerja-kerja operasi berkaitan perlesenan dan pentadbiran masing-masing mempunyai rencah cabaran tersendiri.

"Cabaran dalam kerja-kerja pentadbiran antaranya mesyuarat yang begitu padat seperti sekarang, saya dan rakan-rakan sedang giat menyiapkan draf belanjawan di peringkat majlis (MPPP) sebelum dibentang dalam mesyuarat penuh.

"Sebagai Penolong Pengarah, saya tidak boleh menumpu kerja dalam soal pentadbiran semata-mata kerana kerja-kerja operasi adalan nadi utama di Jabatan (Perkhidmatan Perbandaran Kesihatan  Awam dan Perlesenan).

"Operasi dalam erti kata mudah, Pulau Pinang mesti bersih. Dalam dua tahun ini, saya jadi fobia dengan sampah. Dalam kereta dan dalam beg galas saya memang ada plastik kitar semula untuk saya guna apabila pungut sampah yang saya jumpa.

"Macam baru-baru ini, ada pelanggan MPPP menghubungi saya sendiri dan mengadu sampah tidak dipungut di kawasan rumahnya, saya terus turun padang walaupun hujung minggu. Selepas itu, saya hubungi kontraktor terbabit.

"Apabila kita nak buat semua kerja secepat mungkin, memang kadang-kadang akan berlaku konflik kepentingan dengan kakitangan di bawah kita.

"Saya bertuah kerana saya pernah bersama-sama bekerja di peringkat 'bawah' dengan kawan-kawan di kalangan kakitangan bawahan saya dulu. Maka, ketegasan saya dihormati dan saya cuba begitu toleransi sama ada dalam waktu bekerja atau luar waktu bekerja demi semua kawan-kawan sejabatan saya yang baik ini," ujar beliau.

BUDAYA BERSIH
"Dalam lawatan selama dua minggu ke Jepun sebelum ini, saya hairan, langsung tiada sampah di kawasan terminal pengangkutan awam walaupun tiada tong sampah disediakan.

"Dalam keretapi elektrik, saya pernah menunggu seorang gadis membuang plastik gula-gula, tetapi itu tidak berlaku kerana plastik itu disimpan dalam bag tangannya.

"Ini budaya Jepun. Budaya ini mesti lahir dari rumah sejak anak-anak masih kecil kalau nak bandar kita sebersih bandar-bandar maju seperti Jepun.

"Di Pulau Pinang, sebelum ini, saya pernah melihat pelajar membuang sampah di hentian bas walaupun MPPP menyediakan tong sampah.

"Sejak dua tiga tahun belakangan ini, George Town nampak sedikit perubahan (iaitu) menjadi lebih bersih apabila kempen 'Pulau Pinang Bersih, Hijau dan Selamat' selalu disebut dan dididik oleh pemimpin Kerajaan Negeri dan majlis (MPPP) dan masuk dalam otak pelanggan atau rakyat," ujar beliau.

HARAPAN
Beliau menyimpan harapan supaya MPPP diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat global.

"Memang saya nak majlis jadi model PBT di peringkat dunia. Memang saya nak George Town ini terus menjadi bandar yang menjadi impian dunia untuk berkunjung kerana bandar ini bersih, hijau dan selamat.

"Saya memang akan menetap di Pulau Pinang dan akan terus berkhidmat di majlis (MPPP) mungkin dalam sembilan tahun lagi. Sebelum pencen, memang saya nak lihat majikan saya sukses," ujar beliau sambil merakamkan penghargaan serta tahniah kepada kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MPPP. -END

No comments:

Post a Comment

Siap dengar, Siap bersama!

Entri Popular