Skip to main content

RM1.5 juta naik taraf Kompleks Makan Bukit Gedung


PENIAGA Roti Canai Warisan Keluarga Farouq 

PENGUBAHSUAIAN Kompleks Makanan Bukit Gedung, Bayan Lepas siap dibina seperti yang dijadualkan menjadi satu lagi rekod urus tadbir cekap oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng semasa merasmikan pembukaan kompleks tersebut berkata, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPSP) telahpun memperuntukan sebanyak RM1.5 juta bagi memperbaiki 56 gerai daif serta kemudahan asas lain di situ demi kepentingan rakyat.

“Saya berharap aspek kebersihan dapat diutamakan oleh peniaga. Kompleks yang sebegitu cantik ini, bolehlah saya samakan dengan taraf yang sama dengan kompleks makanan di Korea.

“Ini juga merupakan bukti Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memberi perhatian kepada peniaga-peniaga kecil macam ini.

"Saya juga 'cemburu' melihat keindahan kompleks ini sebab kawasan saya sendiri pun tiada macam ini," beliau berseloroh disambut ketawa warga setempat yang hadir.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas) dan Datuk Ar. Patahiyah Ismail (Yang Dipertua Majlis bagi MPPP) turut hadir pada majlis keraian itu.

Sebelum itu, Abdul Malik berkata, kompleks tersebut boleh disifatkan antara medan makanan terbaik di Pulau Pinang memandangkan lokasi medan tersebut berdekatan 'Free Indstrial Zone'.

Manakala, Patahiyah pula memaklumkan bahawa usaha memulihara serta memelihara medan-medan makan yang lain sedang diusahakan secara berperingkat demi kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan sama, Patahiyah melahirkan ucapan tahniah kepada kontroktor berwajib kerana berjaya menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian 10 hari dari tarikh yang dijadualkan.

Difahamkan, proses pengubahsuaian kompleks tersebut yang bermula pada November tahun lepas dijadualkan siap pada 5 November baru-baru ini.

Usaha-usaha menaik taraf kompleks tersebut dituntut oleh pihak berwajib sejak tahun 1999 lagi, iaitu semasa Barisan Nasional masih menguasai Kerajaan Negeri.

Namun, Kerajaan Negeri hari ini melalui MPPP berjaya menunaikan hasrat peniaga berwajib dan rakyat setempat berkenaan. -END