10 September 2012

Rahsia 'Pion' bina kerjaya dalam MPPP

ABU menerima maklum balas daripada staf sokongan bernama Rajendran mengenai cadangan projek naik taraf gerai makan Anjung Gurney, George Town.

SELEPAS ayahnya pencen pada awal 1970-an, anak kelahiran Pulau Pinang ini diambil bekerja sebagai "pion" oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Itulah antara polisi pihak berkuasa tempatan (PBT) pada ketika itu untuk mengekalkan warga bandaran dalam bandar George Town.

Berkat doa ayah dan motivasi bekas bos di Jabatan Korporat MPPP, Abu Hassan Mohamed Zain, 51, kini boleh menarik nafas lega dengan kejayaan yang dikecapi.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan (Bahagian Pelesenan) MPPP itu baru-baru ini disenarai lagi sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 daripada Kerajaan Negeri.

Dalam wawancara bersama faqar, Abu berkata, beliau pernah menerima anugerah serupa pada tahun 1993, 1997 dan 2008.

Malah, Abu berkata, beliau pernah menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) sempena Hari Lahir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada tahun 2011.

"Selepas bapa saya berhenti kerja sebagai buruh di MPPP pada tahun 1978, saya diambil bekerja berdasarkan polisi majlis semasa itu (iaitu) anak diberi keutamaan apabila bapa berhenti (pencen).

"Lebih kurang 35 tahun saya berkhidmat Majlis. Saya memang nak bekerja dan cari rezeki yang halal. Alhamdulillah, semua anak saya jadi hafiz al-Quran dan ada yang belajar sampai ke universiti luar, di Madinah dan Mesir.

"Satu lagi prinsip saya (ialah) tak suka tangguh masa. Prinsip yang sama saya terapkan kepada lebih kurang 80 pekerja di bawah seliaan saya bagi mengurus hal ehwal pelesenan dalam majlis.

"Mungkin semua itu diukur oleh Kerajaan Negeri dan MPPP sehingga memilih saya saya untuk menerima pingat dan semua anugerah itu," ujar beliau.

Untuk sampai ke tahap ini, Abu berkata, beliau pernah mengambil kelas malam semata-mata untuk mendapatkan Sijil Rendah Peperiksaan (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)·

"Saya dari keluarga susah. Saya belajar setakat darjah enam sebab nak bantu keluar sara enam beradik lain.

"Masa jadi 'pion', siang kerja dan malam ambil kelas. Alhamdulillah, saya dapat SRP (setaraf dengan PMR) dan dapat SPM pada pertengahan tahun 1980-an.

"Selepas itu, saya dipilih untuk Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) untuk lanjutkan pelajaran peringkat diploma di Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan dekat Kuala Lumpur kerana saya bekerja di majlis. 

"Dari situ, saya diberi tanggungjawab, cuba buat terbaik untuk majikan sehingga ke tahap sekarang," ujar beliau.

CABARAN BEKERJA
Abu berkata, kerja menguat kuasa ke atas penjaja tanpa lesen umpamanya bukanlah kerja yang mudah.

Kerja berkaitan aktiviti pelesenan tersebut memerlukan profesionalisme, selain pengalaman untuk berdepan dengan kaum penjaja yang pelbagai ragam.

Contoh terdekat, katanya, insiden sekumpulan 35 penjaja kecil tanpa lesen dari Padang Kota menyerbu pemimpin ketegasan Negeri tertentu dalam satu majlis baru-baru ini.

"MPPP sejak dua tahun lalu sebenarnya berjaya memberi lesen dan memindahkan generasi pertama penjaja tanpa lesen dari Padang Kota ke Kompleks Penjaja Medan Renung dekat Padang Kota.

"Lebih kurang 35 penjaja ini tak berlesen dan mereka ratanya bukan penjaja asal (generasi pertama).

"Selepas notis dan kompaun dikeluarkan, kita pun pacak penguatkuasa kita supaya mereka terbabit tak berniaga di kawasan larangan.

"Kalau kita nak rampas barang jaja mereka, kita tidak pacak penguatkuasa di situ. Semua langkah penguatkuasa ini dilakukan selepas kita menerima aduan daripada penjaja berlesen di Padang Kota sendiri," ujar beliau.

Lebih malang, beliau berkata, badan bukan Kerajaan (NGO) tertentu cuba mempolitikkan isu tersebut demi memburukkan imej kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

HARAPAN
Abu mengaku MPPP merupakan sesuatu yang penting bagi hidupnya. Di situlah, ayahnya dan dirinya sendiri menyambung rezeki.

Saban hari, beliau mengingatkan kakitangan sokongan di bawah seliaannya bahawa semua peringkat bertanggungjawab untuk mereputasi imej MPPP dan bandar George Town di persada dunia.

"Apabila saya bersama YB Phee Boon Poh (Exco Kerajaan Negeri) ke program belajar kitar semula di peringkat antarabangsa baru-baru ini, saya selalu mengingatkan semua staf saya bahawa semua kita perlu bangga kerana MPPP dan Pulau Pulang sudah sampai ke tahap ini (antarabangsa).

"Dengan pembaharuan yang dilakukan oleh pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B Lim Guan Eng, saya di MPPP dah mungkin bersama-sama MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Prai) juga yakin kita semua mampu saling bersaing ke arah merealisasikan 'Pulau Pinang Bersih, Hijau dan Selamat'," ujar beliau. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus