Skip to main content

PRU13: PAS Pulau Pinang sasar 6 Dun, 2 parlimen

Oleh: Sabri Said

PAS Pulau Pinang menyasarkan memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi parlimen pada Pilihan raya Umum ke-13, kata Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri, Rosidi Husain (gambar).

Tegasnya, berbanding pada pilihan raya umum lalu PAS Pulau Pinang lebih ke hadapan dan bersedia bertempur dengan musuh tradisi Umno Barisan Nasional (BN) memandangkan inilah kali pertama PAS bertanding bagi mempertahankan kerajaan negeri.

"Enam kerusi yang kita sertai insya Allah menunjukan potensi yang memberangsangkan. Namun kita terus memperbaiki yang mana kurang sehinggalah ke saat-saat tarikh keramat yang akan diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," jelasnya ketika ditemui di majlis meraikan petugas pilihan raya Dun Penaga, semalam.

Katanya, antara Dun sararan ialah Penaga, Sungai Dua, Permatang Berangan, Sungai Aceh dan Bayan Lepas di samping mempertahankan Dun Permatang Pasir yang dimenangi tiga penggal berturut-turut.

Parlimen sasaran pula, ujarnya adalah Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

"Semua jentera parti kena lipat gandakan aktiviti sehingga pengumuman penting oleh Najib. Jangan ada lagi Majlis Tindakan Dun (MTD) yang lena tidak menggerakkan kegiatan dengan membuka bilik gerakan di Unit Peti Undi (UPU), " jelasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas.