05 September 2012

Guan Eng cabar pembangkang buktikan wujud 'kepentingan peribadi' di P.Pinang

KETUA Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng yang didakwa mempunyai kepentingan peribadi dalam penjualan 0.45 hektar tanah di Jalan Zainal Abidin, George Town mencabar pemimpin Barisan Nasional negeri mengemukakan bukti berhubung tuduhan yang ditujukan ke atas dirinya.

Beliau turut mendesak pembangkang mengemukakan bukti berhubung tuduhan serupa yang dilemparkan kepada empat Exco Kerajaan Negeri, iaitu Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh, Danny Law Heng Kiang dan Wong Hon Wai serta Ng Wai Aik (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang).

"Nyata mereka sebelum ini telahpun gagal membuktikan bahawa bahawa saya memiliki rumah itu di depan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mengapa masih melakukan tindakan terdesak yang hampir sama.

"Sehingga sekarang, saya masih mencabar Teng Chang Yeow (Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang)  mengemukakan bukti melainkan dia benar-benar terdesak untuk mengemukakan bukti atas fitnah yang dia sendiri lakukan," ujar beliau selepas menyempurnakan majlis pelepasan Kayuhan Amal 2012 di perkarangan pasar raya Sunway Carnival, Seberang Jaya.

Menurut beliau, pemilik rumah sewa berkenaan merupakan ahli Gerakan yang merupakan salah satu komponen Barisan Nasional.

"Saya hanya sewa rumah itu. Saya tidak kenal siapakah 'kawan' yang dimaksudkan oleh mereka kerana proses penjualan tanah itu dilakukan secara tender terbuka.

"Secara logiknya, Gerakan lebih wajar dilihat mempunyai kepentingan peribadi kerana puan rumah sewa itu adalah Gerakan," seloroh beliau.

Terdahulu, Chang Yeow serta beberapa pemimpin muda pembangkang lain menggunakan dalih Guan Eng menyewa sebuah rumah banglo di Jalan Pinhorn milik seorang perempuan yang digelar sebagai 'Cik P' untuk menuduh pemimpin utama Kerajaan Negeri itu mempunyai kepentingan peribadi dalam penjualan tanah kontroversi itu.

Dalih lain yang digunakan pembangkang antaranya 'Cik P' adalah rakan kongsi kepada seorang individu bergelar Datuk dari Sabah yang merupakan pemegang saham Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC).

'Cik P', menurut pembangkang lagi, telah membeli banglo itu dengan harga RM2.5 juta dan membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk pengubahsuaian dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Atas dalih itu, Guan Eng kemudiannya cuba digambarkan mempunyai kepentingan peribadi dengan KLIDC pula ekoran beliau sekeluarga dikatakan berpindah ke rumah banglo tersebut pada 2 Julai 2009, iaitu pasca pilihan raya umum.

Guan Eng dalam reaksi spontan semasa itu mencabar pembangkang mengemukakan bukti atas kesemua dalih dan sangkaan yang dilemparkan ke atas dirinya serta lima pemimpin Kerajaan Negeri yang lain. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus