22 August 2012

KN P.Pinang, penduduk Kg.Batu Uban beri pemaju 'kata dua'

PENDUDUK Kampung Batu Uban bersama-sama Lim Guan Eng serta kepemimpinan Kerajaan Negeri yang lain saling bermuafakat menghadapi layanan dingin daripada pemaju berkenaan. | gambar: Sinar Harian

SEKUMPULAN penduduk di perkampungan Batu Uban, di sini, menuntut pemaju membina rumah transit terlebih dahulu sebelum mereka mengosongkan rumah masing-masing.

Mereka meluahkan pendirian itu baru-baru ini selepas menerima notis mengosongkan rumah masing-masing dalam masa 14 hari.

Rata-rata mereka berkata, "takkan mereka (pemaju) mahu lihat kami tidur di bawah Jambatan Pulau Pinang".

Zaiton Mazahar
Penduduk, Zaiton Mazahar, 60, berkata, rata-rata penduduk menjadi tidak tenang apabila menerima notis tersebut menjelang hari lebaran.

"Kami bukan tidak beri pemaju membina perumahan di sini, sebaliknya kami hanya mahu pemaju membina rumah transit sebelum kami semua keluar.

"Rumah transit berkenaan perlulah dibina berhampiran dengan kampung, bukannya luar daripada Batu Uban," ujar beliau dipetik dari sebuah akhbar tempatan.

Menurut beliau, pemaju pada mulanya bersetuju dengan tuntutan penduduk berwajib.

Namun, beliau berkata, rata-rata penduduk mengaku kecewa apabila mengetahui bahawa rumah transit yang mahu dibina oleh pemaju itu adalah ala-ala rumah kongsi pekerja asing.

"Kami sendiri sebagai penduduk berasa tidak yakin dan jika esok penduduk tidak mendapat rumah yang dijanjikan, apakah mereka mahu kami duduk di bawah jambatan," soal beliau.

Zaiton yang kini menetap di rumah keluarganya yang berusia 80 tahun itu berpendapat bahawa pemaju seharusnya tidak memberi layanan yang dingin ke atas penduduk berwajib menjelang musim perayaan.

Nada yang sama turut diluahkan oleh penduduk, Minah Ahmad, 70.

Beliau berkata, beliau bersama-sama sembilan adik beradik yang lain begitu bimbang dengan nasib rumah pusaka ibunya yang berusia kira-kira 80 tahun itu.

Beliau berkata, rumah pusaka yang kini didiami oleh adiknya, Maimunah Ahmad, 59, itu merupakan satu-satunya harta peninggalan arwah ibu mereka.

"Esok lusa, kalau mereka suruh kami keluar dan janji tidak ditepati, di mana dia (Maimunah) akan tinggal. Bagaimana pula dengan harta peninggalan ibu," soal Minah.

Abdul Rashid Abdul Kadir
Seorang lagi penduduk, Abdul Rashid Abdul Kadir, 61, berkata, kesemua mereka seakan diusir oleh 'penjajah' sungguhpun tanah air sudah merdeka sejak 55 tahun lepas.

Ini kerana, katanya, notis 14 hari daripada pihak pemaju berkenaan berakhir pada 31 Ogos 2012, iaitu pada tanggal Hari Kemerdekaan negara disambut saban tahun sejak tahun 1957.

"Kami sangat kecewa kerana sedang umat Islam lain bergembira menyambut hari raya dan tidak sabar menyambut kemerdekaan, kami pula dalam keadaan resah gelisah," katanya.

Difahamkan, seramai 22 penduduk di Kampung Batu Uban menerima notis arah keluar selepas pemaju berjaya membeli tanah berkenaan daripada beberapa pemilik tanah asal.

Pemaju, dilaporkan, merancang untuk membina dua blok kondominium serta rumah mewah mencecah sampai RM300,000 seunit di atas tanah berkomersial tinggi itu.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim dalam reaksi spontan, dilaporkan, memanjangkan isu penduduk berkenaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng bersama-sama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman, S. Raveentharan (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Uban, ADUN), Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak kemudiannya mengadakan lawatan tergempar di kampung berkenaan.

Di depan kira-kira 50 penduduk berwajib, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri menggesa pemaju menarik balik notis arahan keluar yang diserahkan kepada penduduk sebelum ini.

Malah, beliau berkata, syarikat pemaju berkenaan akan disenaraihitamkan oleh Kerajaan Negeri sekiranya gagal menerima gesaaan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui MPPP akan menghalang langkah pengusiran penduduk asal kampung berkenaan sekiranya pemaju masih mahu meneruskan notis 14 arahan keluar tersebut pada 31 Ogos nanti.

"Saya minta anda (pemaju) berbincang elok-elok dengan penduduk, dan sekiranya pemaju masih berdegil, saya berharap pakcik dan makcik di kampung ini tidak risau kerana saya akan arahkan penguat kuasa MPPP menghalang tindakan pemaju pada 31 Ogos nanti.

"Akan turut serta ialah pegawai daerah kami, saya amat berharap supaya pemaju bertimbang rasa dan kami (Pakatan Rakyat) daripada Kerajaan Negeri amat kesal dengan kejadian sebegini.

"Pada masa itu, saya amat terkejut dan terfikir masih ada manusia yang tidak sensitif sedangkan notis itu dikeluarkan sehari sebelum perayaan (Hari Raya Puasa) dan arahan keluar adalah pada waktu kemerdekaan, 31 Ogos (2012)," ujar beliau.

Pembelaan nasib rakyat itu dipertegas semasa Guan Eng masih berada di Korea.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen pentadbiran Guan Eng dalam membela nasib rakyat sungguhpun Kerajaan Negeri seringkali difitnah cuba mengusir Melayu dari negeri berkenaan sepertimana yang digambarkan oleh pihak pembangkang Pulau Pinang belakangan ini. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus