Skip to main content

Guan Eng minta Umno tak ambil 39 ekar tanah Melayu, 59 ekar tanah Cina untuk bina universiti

P.Pinang rayu pusat bina AWLU selain di Kg. Genting Balik Pulau

KETUA Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini meminta kerajaan pusat menimbang semula tapak seluas 100 ekar yang lain dari tapak Asian Women Leadership Universiti (AWLU) sekarang di Kampung Genting demi kepentingan rakyat.

Permintaan itu sekaligus menolak taktik kotor Umno khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad dengan meniupkan api perkauman demi menggagalkan inisiatif pendidikan kerajaan pusat yang disokong oleh Kerajaan Negeri.

"Macam mana boleh gunakan isu perkauman (apa)bila 59 ekar tanah dimiliki oleh bukan Melayu berbanding dengan 39 ekar tanah dimiliki oleh orang Melayu," soal beliau di Komtar, George Town.

Tambah beliau, kerajaan pusat berhasrat mengambil tanah tersebut bukan atas tujuan swasta seperti meraih keuntungan besar, tetapi untuk tujuan awam, iaitu membina universiti yang dijangka akan lebih terkenal berbanding Universiti Sains Malaysia (USM) kelak.

5 Julai lepas, Guan Eng mendedahkan surat hitam putih daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Seri Idris Jala yang menjelaskan hasrat pusat untuk membina AWLU.

Pendedahan itu selepas Mohamad Farid serta sekumpulan ahli Umno melancarkan demontrasi di Balik Pulau sebagai membantah pentadbiran Guan Eng yang kononnya merampas tanah-tanah Melayu di Kampung Genting.

Walhal, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, dilaporkan, telahpun meluluskan projek AWLU itu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan.

Melalui Projek Permulaan (EPP) itu, kerajaan pusat menjangkakan pelaburan sebanyak RM492 juta dengan menambah impak keluaran negara kasar sebanyak RM74.42 juta menjelang tahun 2020.

Justeru, Muhamad Farid dicabar meninggalkan arena politik sekiranya beliau benar-benar ikhlas mempertahankan kepentingan Melayu di tanah berkenaan.

"Saya sangat kesal, semasa Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, Mohamad Farid sedia menggadaikan masa depan anak-anak warga Balik Pulau dan Pulau Pinang demi servival politiknya.

"Adakah Muhamad Farid Saad berani letak jawatan daripada Umno dan BN untuk membuktikan beliau benar-benar ikhlas menentang projek AWLU yang diluluskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin," soal Guan Eng lagi. -END