05 July 2012

Hasrat pusat bina Universiti lahir bimbang warga Balik Pulau

LEBiH 40 pemilik tanah Kg. Genting berjumpa Ketua Menteri.
HASRAT Kerajaan Pusat membina Asian Women Leadership Universiti (AWLU) di Kampung Genting, Balik Pulau mendorong lebih 40 pemilik tanah daripada pelbagai bangsa mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Rata-rata mereka melahirkan perasaan bimbang sekiranya kepentingan hartanah serta hak penempatan mereka diabaikan kelak di sebalik projek mega kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu.

Guan Eng bagaimanapun berkata, tanah kampung berkenaan dipilih oleh kerajaan pusat bagi menubuhkan sebuah universiti wanita yang bpertama dan terunggul di benua Asia.

Kerajaan Negeri telah diminta oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Diris Jala untuk memudah cara penubuhan AWLU dengan mengambil tanah seluas 100 ekar itu berdasarkan Akta Pengambilan Balik Tanah, 1960.

Surat berkenaan diberikan secara hitam puteh kepada Ketua Menteri pada tanggal 12 Jun lepas.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri sedaya upaya akan memastikan hak serta kepentingan penduduk asal di kampung berkenaan tidak akan diabaikan oleh kerajaan pusat sepanjang proses pengambilalihan itu dilakukan.

Proses pengambilan tanah itu akan dilakukan mengikut undang-undang dengan bayaran pampasan mengikut harga yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian Harta di bawah Kementerian Kewangan.

"Saya telah meminta DO (Pegawai Daerah) menyelesaikan proses pengambilalihan tanah ini seperti yang diminta oleh kerajaan persekutuan," ujar beliau di Komtar, George Town pada lewat petang Selasa lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan Datuk Abdul Halim Hussain (Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) turut hadir dalam majlis dialog dua hala tersebut.

Pengambilan tanah seluas kira-kira 100 ekar tanah berkenaan melibatkan 10 rumah kampung serta dusun-dusun. Sebanyak 39 ekar tanah dimilik Melayu manakala 59 ekar ekar lain dimiliki oleh Cina.

Menurut Guan Eng, proses penilaian tanah berkenaan turut dilakukan oleh sebuah jawatankuasa penilai yang dibentuk oleh Kementerian Kewangan di bawah kerajaan pusat.

"Jika tidak berpuas hati dengan taksiran nilai tanah yang dikemukakan oleh Jabatan Penilaian Harta (melalui Kementerian Kewangan), proses rayuan boleh dibuat selama 42 hari (hatta) pemilik tanah boleh membuat rayuan kepada Mahkamah," ujar beliau sambil mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima surat pernyataan hasrat kerajaan pusat melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Idris Jala pada 18 Jun lepas.

Difahamkan,cadangan membina universiti yang dikhususkan untuk kaum wanita tersebut dikatakan turut menerima sokongan padu daripada beberapa universiti terkemuka dunia seperti Smith University dari Amerika Syarikat.

Disebabkan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, dilaporkan, telahpun meluluskan projek AWLU itu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan.

Projek AWLU itu mula diwartakan pada Ogos 2010 dan proses rundingan antara pihak berwajib dari kerajaan pusat dengan penduduk kampung berkenaan dijadualkan bermula pada hujung Julai ini.

Melalui Projek Permulaan (EPP) itu, kerajaan pusat menjangkakan pelaburan sebanyak RM492 juta dengan menambah impak keluaran negara kasar sebanyak RM74.42 juta menjelang tahun 2020.

"Saya menyokong penuh apa jua hasrat untuk pendidikan kerana itu bermakna untuk generasi hadapan.

"Sesungguhnya projek AWLU adalah daripada kerajaan pusat, saya menyokong penuh apa jua hasrat untuk pendidikan kerana itu bermakna dan untung untuk generasi hadapan.

"Saya harap tuan punya tanah dapat menerimanya (hasrat pusat) sungguhpun mereka rasa kurang senang hati.

"Oleh kerana anak-anak kita hanya terjamin dengan pendidikan cemerlang, maka Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) rela ketepikan perbezaan politik dan bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kepentingan rakyat.

"Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) tidak mahu perkara ini dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, tetapi berusaha mencari penyelesaian elok untuk semua pihak, termasuk tuan tanah," jelas Guan Eng. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus