Skip to main content

Tanpa hadir perbincangan, SM Mohamed kritik P.Pinang


Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun mendedahkan maklumat kepada awam mengenai pembinaan terowong sepanjang 6.5 KM dari Gurney Drive ke Bagan Ajam, jalan sepanjang 12 KM menghubungkan Tanjung Bungah dan Telok Bahang serta beberapa projek mega lain, kata Zairil Khir Johari (kiri), lapor PenangInsight.com.

Penjelasan Setiausaha Politik kepada ketua menteri itu sekaligus menolak dakwaan aktivis veteran SM Mohamed Idris  yang mewakili NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoal  "ketelusan dan keterbukaan" urus tadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Zairil berkata, Ketua Menteri Lim Guan Eng turut mendedahkan maklumat melalui dua sesi perbincangan bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan awam.

Mungkin SM Mohamed Idris tidak hadir dalam dua sesi perbincangan tersebut walaupun kedua-dua NGO yang dipimpinnya itu dijemput sehingga membawa tokoh berkenaan mengkritik Kerajaan Negeri Pulau Pinanang pimpinan Pakatan Rakyat.
"Kami tidak mempertikaikan hakikat bahawa isu ketelusan dan keterbukaan merupakan keutamaan yang paling penting.

"Malah sebagai kerajaan yang berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), kami telah mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan pihak umum mengenai projek-projek infrastruktur yang dicadangkan," kata Zairil dalam satu kenyataan, semalam.

Zairil merujuk khusus kepada sebuah artikel yang bertajuk "Kesal DAP tidak salur maklumat kepada rakyat", yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 6 Mac.

Laporan itu menyebut, SM Mohamed (kanan) dilaporkan berasa kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak menyediakan maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini, yang bernilai berbilion ringgit.

Projek berkenaan termasuk terowong sepanjang 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam, jalan sepanjang 12 km menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, dan beberapa projek lain untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di pulau itu.

Aktivis veteran menambah bahawa isu ketelusan dan keterbukaan yang berkaitan dengan projek adalah keutamaan yang paling penting dalam perancangan awal dan membuat keputusan sesuatu projek.

Projek jalan RM5-8 bilion
Zairil berkata, Pada 28 April 2011, satu sidang akhbar telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mengenai penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sebuah syarikat milik kerajaan China.

Menurutnya, kedua-dua Perdana Menteri - Datuk Seri Najib Tun
Razak (Malaysia) dan Wen Jia Bao (China) - menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut

"Semua projek ini akan dijalankan secara tender terbuka. Kos dianggarkan di antara RM5-8 bilion untuk keempat-empat projek ini tetapi dijangka lebih rendah kerana ia dijalankan dengan tender terbuka," kata Zairil.

Menurutnya lagi, pemeteraian MoU itu diikuti dengan satu sidang akhbar yang diadakan di Dewan Undangan Negeri pada 29 April tahun lepas untuk meminta pandangan rakyat terhadap empat projek infrastruktur tersebut.

Dalam sidang DUN pada 10 Mei 2011, Ketua Menteri telah sekali lagi menjawab soalan-soalan mengenai projek-projek infrastruktur tersebut, tambahnya.

Zairil berkata, kerajaan negeri dan juga MPPP telah menerima beberapa pandangan dan cadangan sejak 29 April, manakala Ketua Menteri telah mengadakan sesi perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa wakil NGO dan pihak umum, termasuk dengan Penang Forum pada 16 Oktober 2011 dan juga pada 19 November 2011.

"Dalam kedua-dua forum tersebut, SM Mohamed telah dijemput tetapi beliau tidak dapat hadir dan telah menghantarkan wakil CAP.

"Oleh itu, adalah mengejutkan bagaimana CAP boleh menyatakan bahawa tidak ada rundingan dengan NGO atau rakyat apabila begitu banyak ruang diberikan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan projek-projek infrastruktur tersebut.

"Mengikut senarai kehadiran, kami boleh mengesahkan bahawa wakil CAP iaitu Rudhrapathy Vijayala (Ravi) telah menghadiri kedua-dua sesi tersebut," tambahnya.

Ketika dihubungi Rudhrapathy berkata pertemuan wakil NGO dengan Ketua Menteri tidak dianggap sebagai "perundingan awam".

Perundingan awam termasuk memaparkan pelan dan maklumat mengenai projek-projek negeri, contohnya, orang ramai dijemput untuk mencadangkan rancangan mereka untuk Taman Botani Pulau Pinang di tingkat 3, Komtar.

"Ya, kita bertemu dua kali dengan beliau tetapi ini hanyalah satu perjumpaan antara NGO dan kerajaan negeri, ianya bukan perundingan awam," katanya kepada Malaysiakini.

"Dalam satu pertemuan NGO dengan KM, kami menyampaikan pandangan dan rungutan kami dan beliau menerang dan menjelaskan pandangannya," katanya.

Radhrapathy berkata wakil-wakil NGO - semasa pertemuan tersebut - tidak pernah "bersetuju dengan semua" hujah Guan Eng.

Menurutnya, walaupun pihaknya telah berhujah dan memberi penjelasan, namun Ketua Menteri gagal mendengarnya dan tetap dengan pandangan beliau. -END


IKLAN