Skip to main content

Selepas NFC, Shahrizat berdalih projek KL Eco City

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini seakan terus berdalih kononnya beliau beliau tiada kena-mengena dengan projek pembangunan KL Eco City seperti dakwaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, berkata, segala soalan berkaitan pembangunan mahupun pembelian hartanah itu perlu dirujuk kepada pihak pengurusan KL Eco City.

"Kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau atau mana-mana pihak yang membuat fitnah dan tohmahan mengaitkan saya dengan KL Eco City ini," katanya di Sinar Harian.

Nurul Izzah dilaporkan meminta Shahrizat menjelaskan penglibatan beliau dalam pembangunan projek hartanah itu yang terletak berhampiran Jalan Bangsar dan bertentangan dengan Mid Valley City.

Pada satu sidang media petang semalam, Nurul Izzah mendesak agar Shahrizat memberi penjelasan berhubung kelulusan projek pembagunan hartanah mewah bernilai RM6 bilion itu.

Beliau berkata, dana awam yang disalurkan kepada Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) telah digunakan untuk membeli lapan unit hartanah projek pembangunan berkenaan yang semuanya berjumlah RM12 juta.

"Ini menimbulkan persoalan kerana ia melibatkan pertembungan kepentingan antara tugas sebagai seorang Ahli Parlimen kawasan itu dan kemahuan peribadi keluarga beliau (Shahrizat).

"Ini kes serius kerana melibatkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah yang tidak diberi pampasan yang sepatutnya. Sewajarnya sebagai seorang Ahli Parlimen di kawasan itu, Sharizat perlu membela nasib mereka, bukan menindas," katanya.

Shahrizat merupakan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai. Nurul Izzah menewaskan Shahrizat pada pilihan raya umum 2008.

Nurul Izzah berkata, Sharizat perlu tampil menerangkan kepada rakyat sama ada beliau ada sebarang peranan dalam projek perumahan itu sehingga menyebabkan pemindahan penduduk Kampung Abdullah Hukum.

"Jika beliau mengambil sikap lewa dalam membela nasib penduduk terbabit, ia akan menimbulkan tanda tanya adakah benar keluarganya terlibat dalam pembelian hartanah di KL Eco City ini atau tidak.

"Tindakan itu membuktikan  Umno telah menindas rakyat miskin di Lembah Pantai," kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR.

Beliau turut mendakwa beberapa pemimpin Pemuda Umno turut terlibat secara langsung dalam pembangunan KL Eco City dan pemindahan penduduk melalui syarikat YGP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan rakan kongsi awal projek hartanah mewah berkenaan.

"Saya akan menunggu jawapan daripada Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Umno mengenai penglibatan mereka dalam projek yang meminggirkan kepentingan rakyat miskin di Lembah Pantai.

"Kami juga akan terus mendesak Sharizat bertanggungjawab ke atas penggunaan dana awam untuk membeli hartanah peribadi," katanya. -END