Skip to main content

Rosidi minta MTD kerja seakan PAS tanding di Sg Acheh

MAJLIS Tindakan Dun (MTD) Sungai Acheh diminta membuat persiapan penuh seolah-olah bertanding di Dun Sungai Acheh pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Demikian pengumuman Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain hari ini di bengkel pilihan raya di Dun berkenaan.

"Perbezaan akan terus berlaku antara kepemimpinan kita (PAS) dalam proses berunding dengan PKR mengenai kerusi (Sungai Acheh) yang dipinjamkan kepada mereka.

"Pakatan Rakyat bukan Barisan Nasional. Kita, PAS dan PKR mempunyai amalan perbincangan yang harmoni (iaitu) kita bersetuju untuk berbeza pendapat," ujarnya di Pasti Nurul Hakim dekat Sungai Air Itam, Sungai Acheh.

Turut hadir, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Ustaz Takiyuddin Hazah (Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) dan Abdul Rahman Ramjan (Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Acheh).

Rosidi berkata, beliau senada dengan Mujahid, iaitu PAS wajar berusaha mendapatkan kembali kerusi Sungai Acheh dulu.

Pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lepas, Dun Sungai Acheh menyaksikan Dr Azhar dari PKR tewas pada tangan tangan Mahmood Zakaria dari Umno dengan kekurangan kira-kira 250 undi sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid disebut-sebut menerima pinangan MTD PAS Sungai Acheh untuk tanding di Dun berkenaan.

Inisiatif itu, menurut beliau, selepas mengambil kira khabarnya menerima 'lampu hijau bersyarat' daripada Senator Mustapa Kamal dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman.

Mustafa berkata, PKR bersedia memberi laluan kepada PAS sekiranya Mujahid dipilih sebagai calon; sungguhkan PKR ura-ura memperjudi Ketua Penerangan AMK Rizal Hamid di kerusi Sungai Acheh.

Usaha membawa Mujahid oleh PAS Kawasan serta reaksi positif PKR negeri sekiranya berjaya direalisasikan kelak akan memperkukuh kepemimpinan Pakatan Rakyat di negeri berkenaan. -END