25 February 2012

Mahathir akui kroni Melayu, bukan Melayu dapat manfaat DEB?

TUN Dr Mahathir Mohamad seakan mendedahkan kroni-kroni Melayu dan bukan Melayu di sebalik perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sepanjang 22 tahun beliau menjadi perdana menteri sejak 1981.

"Tan Sri Vincent Tan, Robert Kuok, Ananda Krishnan, mereka semua menjadi jutawan ketika zaman saya, kenapa fokus kepada jutawan Melayu?" soalnya di The Malaysian Insider.

"DEB dilaksanakan untuk semua kaum, semua lapisan masyarakat," katanya ketika sidang media selepas berucap di majlis Bicara Minda bersama bekas perdana menteri itu anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata, individu tersebut yang menjadi jutawan disebabkan mereka berkeupayaan.

"Mereka bukan dipilih, tetapi sesiapa yang menjadi jutawan adalah atas dasar mereka sendiri, mereka mempunyai kapasiti untuk menjadi jutawan," katanya.

Tengku Razaleigh Hamzah awal hari ini membuat kenyataan bahawa polisi ekonomi terbabit bukan bermaksud untuk melahirkan kumpulan Melayu kapitalis tapi bagi membasmi kemiskinan dan melibatkan masyarakat Melayu dalam aktiviti perniagaan.

"DEB matlamat utamanya adalah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan keupayaan penglibatan masyarakat Melayu dalam aktiviti ekonomi. Ia di wujudkan untuk semua rakyat Malaysia. Bukan hanya kepada Melayu dan Bumiputera," kata bekas menteri kewangan ini.

Namun demikian, Dr Mahathir turut menjelaskan melalui DEB, 500,000 masyarakat Melayu diberikan peluang melanjutkan pengajian, dan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), lebih sembilan juta Bumiputera mampu memiliki saham dalam syarikat.

"Ku Li seharusnya tahu perkara ini, beliau menteri kewangan masa itu," katanya merujuk kepada Tengku Razaleigh.

Sejak beberapa minggu lalu, polisi Dr Mahathir telah menjadi topik bualan hangat selepas pentadbiran Najib memutuskan untuk menyelesaikan kes hutang bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli di luar mahkamah.

Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak didedahkan, menimbulkan perasaan kurang senang masyarakat dan turut menerima kecaman daripada pembangkang yang menuntut pendedahan kerana mereka mahukan jumlah berapa banyak wang awam yang telah diselewengkan. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus