21 February 2012

Chowrasta dinaik taraf jadi ikon warisan P.Pinang

SEJAJAR dengan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk menaik taraf Pasar Basah Chowrasta menjadi ikon "Central Business District" bagi George Town.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, projek yang menelan belanja antara RM10 juta hingga RM12 juta itu dapat dilakukan kerana kerajaan negeri mempunyai lebihan belanjawan selain keuntungan yang diperoleh daripada Majlis Perbadaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Pembangunan semula Pasar Chowrasta adalah yang pertama dilakukan sejak tahun 1961 (ia ditubuhkan).

"Penaiktarafan ini merupakan satu lagi kesungguhan pentadbiran Pakatan Rakyat dalam mempromosikan bangunan warisan," ujar beliau pagi tadi pada satu sidang akhbar di Komtar, George Town. 

Beliau berkata, penaiktarafan ini boleh dilakukan bukanlah disebabkan kerajaan tidak berbelanja dari bajet pembangunan seperti didakwa oleh pembangkang di negeri berkenaan.

"(Penjelasan) ini menolak niat jahat Umno kononnya kita (kerajaan negeri) boleh belanja (naik taraf Pasar Chowrasta) kerana kita 'tidak berbelanja' (bajet pembangunan. (Umno) ini orang buta fakta," ujar beliau.

Perbelanjaan pembangunan MPPP pada tahun 2007 sebanyak RM7 juta dan naik RM8.9 juta pada tahun 2011. Tahun 2012 menyaksikan pertambahan sebanyak RM24.5 juta lagi.

Manakala keuntungan MPPP bagi tahun 2008 didedah RM25,882,209; diikuti 2009 (RM20,182,479) dan 2010 (RM63,268,428).

"Dengan kata lain, perbelanjaan pembangunan telah bertambah lebih 3 kali ganda daripada tahun 2007 hingga ke (tahun) 2012, tetapi masih mencatatkan keuntungan hasil tahunan (2008 hingga 2009)," ujarnya.

Pasar Chowrasta merupakan antara pasar basah paling awal dibina di negeri berkenaan.

Projek di bawah MPPP ini akan dikendalikan oleh arkitek warisan antarabangsa, Laurence Loh.

Proses pembinaan pula akan dilakukan secara tender terbuka selepas proses mereka bentuk pasar basah itu selesai kelak.

"(Pasar basah) ini adalah GBI (Green Building Index) pertama di Malaysia," ujar Guan Eng selepas mendengar perbentangan daripada Arkitek LLA, Ong Jing Cheng yang mewakili Laurence Loh.

Sebanyak 240 lot kedai akan dibina, termasuk 18 gerai makanan dan 18 kedai jual barangan di tingkat 1 bangunan pasar tersebut.

Pasar basah baru itu mampu menampung kira-kira 150 parkir pada satu-satu masa.

"Dengan penaiktarafan ini nyata membuktikan komitmen kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang prihatin dengan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (supaya) dapat berniaga dalam keadaan yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat," ujar Guan Eng.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus