Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
31 OKTOBER 2010
GEORGE TOWN,- Isu pengusiran 200 penduduk Kampung Asam dekat Jelutong pada Ogos 2010 lepas dilakukan oleh pemaju swasta susulan mendapat perintah mahkamah (baca: summary judgment).
Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng secara pentadbiran pergi berunding dengan tuan tanah serta pemaju agar perintah mahkamah tersebut ditangguhkan tiga bulan lagi ke tarikh 13 Oktober tahun sama, iaitu selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Bahkan, Guan Eng secara pentadbiran turut sekali lagi melakukan rundingan dengan tuan tanah serta pemaju agar kesemua penduduk asal yang terdiri oleh pelbagai kaum mendapat pampasan tunai yang lebih setimpal serta munasabah, bukan di bawah RM10,000 yang ditetapkan sebelum ini.
”Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri lazimnya merasakan bahawa RM10,000 yang ditawarkan oleh pemaju adalah tidak munasabah. Mereka (pemaju) kena tawar lebih!
”Sekiranya mereka (pemaju) masih berdegil, Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan membenarkan pihak terbabit membuat pembangunan termasuk di lokasi-lokasi lain selain Jelutong,’’ tegas Guan Eng kepada wartawan semasa itu di Komtar di sini.
Ketegasan Guan Eng itu akhirnya berjaya mengolah pendirian pemaju untuk melaksanakan perintah mahkamah berwajib, yang turut dinyatakan secara bersemuka dengan penduduk terlibat serta tuan tanah swasta terbabit.
Selain itu, Guan Eng secara tegas menolak laporan berunsur fitnah akhbar Utusan Malaysia yang menggambarkan pentadbirannya di Pulau Pinang mengusir Melayu dari Kampung Asam tersebut, walhal ketuanpunyaan tanah tersebut jelas adalah pihak swasta dan bukan milik Kerajaan Negeri.
"Kerajaan Negeri hanya mengetahui isu ini sehingga perintah mahkamah dikeluarkan pada bulan Julai 2010.
"Malah, kes ini adalah dari zaman Barisan Nasional (BN) lagi," tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
No comments:
Post a Comment