Syor Rafizi tubuh RCI seperti nak ajar Agong, Raja-Raja Melayu peranan mereka, kata Umno

DENGAN mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung pelantikan hakim, Datuk Seri Rafizi Ramli seakan cuba mempertikaikan prerogatif Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu Malaysia dalam proses berwajib.

Ini kerana, berdasarkan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, Agong sendiri yang membuat keputusan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi, hakim-hakim lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Demikian respons Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Noor bin Ahmad sambil menegaskan bahawa partinya pasti tidak akan berganjak dalam isu yang menghakis kuasa prerogatif Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu Malaysia.

“Berdasarkan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, semua hakim-hakim Mahkamah Atasan dilantik oleh Agong sendiri, selepas berunding atau mesyuarat Majlis Raja-Raja (Melayu).

”Tidak mungkin seorang Perdana Menteri selaku penasihat boleh mendahului budi bicara Agong dan proses rundingan Majlis Raja-Raja (Melayu).

”Dan, kalau Rafizi mendesak penubuhan RCI, sama lah seperti dia ‘nak menunjuk ajar’ kepada Agong dan Majlis Raja-Raja (Melayu) apa yang patut dan tidak, sungguhpun tindak tanduk itu berlawanan dengan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya seusai menyertai telesidang Mesyuarat Penerangan Umno Malaysia menjelang tengah hari tadi (15 Julai 2025).

Sehingga tahun 2007, Malaysia pernah digemparkan dengan isu klip video ‘Lingam’ yang mengandungi perbualan suara mirip seorang peguam terkemuka negara iaitu Datuk V. K. Lingam dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim-hakim pada tahun pada tahun 2002.

Beberapa pemimpin pembangkang menyifatkan kemelut pelantikan hakim Mahkamah Atasan dan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular menerusi media sosial baru-baru ini, seakan mengulangi usaha mengatur hakim-hakim pada tahun 2002 dahulu.

Mohd Noor yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Kawan menyanggah naratif pembangkang yang cuba menggambarkan pentadbiran Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim cuba mencemar institusi kehakiman negara yang patut bebas dan adil.

“Proses pelantikan hakim pada tahun 2002 dulu, belum ada lagi Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 seperti hari ini.

”Sejak tahun 2009, Akta JAC mula diguna pakai dalam proses melantik lima Ketua Hakim Negara,” jelasnya sambil mencadangkan penambahbaikkan pada akta tersebut demi mencegah mana-mana pihak mengelirukan rakyat pada masa akan datang.

Sebelum pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said seusai majlis penutup Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 dekat Putrajaya pada 15 Julai 2025 antara lain dilaporkan berkata syor penambahbaikan pada Akta JAC 2009 wajar dilakukan demi mencegah kekeliruan perspektif orang awam terhadap semua pihak yang terlibat dalam proses melantik barisan hakim berkenaan.

Pada sidang media sama di Putrajaya, Anwar yang juga Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Perak turut memberi jaminan bahawa tiada campur tangan mana-mana pihak eksekutif dalam isu kehakiman negara, sungguhpun ada kes berkaitan dirinya ‘sedang berjalan’ di mahkamah.

“Saya fikir biar lah mereka (Majlis Raja-Raja) yang membuat keputusan dan esok, mudah-mudahan akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif tersebut,” jelas Anwar lagi.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor berkata Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang tidak akan kompromi pada sebarang usaha yang boleh menghakis kuasa budi bicara Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, dalam isu pelantikan hakim belakangan ini.

“Syor Rafizi supaya RCI tubuh ini seakan menyentuh prerogatif Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, soal ini kita (Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang) tidak akan kompromi.

”Macam-macam formula ekonomi dibentangkan sebelum jadi menteri, dah jadi menteri sampai lepas jawatan selepas tewas Pemilihan 2025, yang pasti rakyat bawahan hingga kini susah dan masih di takuk lama dan sama.

“Jangan sebab ‘ada masalah’ yang belum dalam parti kamu, nak diheret rakyat dengan idea nak tubuh RCI dan sebagainya ini.

”Menjadi sebahagian parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia hari ini, Umno ada fardhu kifayah iaitu memastikan kedudukan istimewa (bangsa) Melayu, Islam agama persekutuan, bahasa Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana dalam Perlembagaan terus diperkukuh,” tegasnya lagi.

Terdahulu, pada 7 Julai lepas, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilaporkan menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu RCI bagi menyiasat kemelut yang melanda institusi kehakiman ketika ini, susulan pelbagai dakwaan serius yang mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Comments