30 November 2018

Cerpen: Air Mata Kita...


Ke pusara isteri muda cantik jelita, Allahyarhamuha Siti Hajjar Hassan dekat Kundnag Ulu, Muar, Johor pada 7.00 pagi 30 Disember 2018. Al-Fatihah...

Oleh: Zainulfaqar Yaacob

DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial



(1)


          اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها


          Berulang kali lelaki berusia lewat 30an itu melafazkan “Allahummaghfirlaha Warhamhuma Wa’afiha Wa’fu’anha,” dalam suara garau dan serak-serak basah. Sambil memecam mata serapat-rapat, kedua-dua tangannya menerkup muka. 


           Tidak pasti sama ada Man berzikir sehingga bergoncang tubuhnya, atau gigil kerana ditempias gerimis tebal awal pagi di perdamaian desa itu. Baju putihnya basah. Sebahagian seluarnya, terutama di bahagian paha yang rapat mendakap dada juga basah. Duduk bertinggung di pusara isteri muda cantik dan jelita. Basah, dengan air mata.


           Dia terus berdoa sesungguh-sungguhnya dengan tangan yang menerkup muka. Garau dan serak-serap basah suaranya semakin lantang, walaupun bumbung wakaf yang tak jauh dari tempat dia bermunajat, bergemerincing ditimpa air hujan yang renyai. Sebadan, kuyup.. Mujur lah di perdamaian sepi dan sunyi itu tidak ada kelibat yang lain. Tidak, mungkin dia akan dipandang serong, sama ada menurun di kubur atau gila serta hilang punca dalam hidup, tidak kisah diri yang ditimpa lebat hujan.


(2)


          Bumbung langit yang tadi berpusing-pusing gelap, menangis, nampaknya reda kembali. Walaupun belum cerah dengan terjahan suria, Man berhenti berdoa. Dia terdengar bacaan doa yang sama mencium telinganya. 


          اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها. Ya, doa sama berbisik ke telinganya. Suara wanita. Lunak dan keganisan nadanya. Suara yang dia benar-benar kenal. 


          “Teruskanlah berdoa,” bisik Siti sambil tersenyum, apabila dipandang Man. Dia menjarakkan diri, berdiri tidak jauh dari lelaki yang sedang gila berdoa di pusara itu.


          Lalu dia mara ke depan, menghulur tangan, salam suaminya. Selepas dicium tangan, Siti cium hampir semua permukaan mula, pipi, dahi, bibir, hidung, atas kelopak mata, bawah mulut. Semuanya yang ada pada wajah Man. 


         Man yang sedang memeluk Siti, cepat-cepat menerkup kedua-dua telinganya, takut digigit manja oleh isterinya. Ngilu dan geli.


         “Siti...apa khabar?” 


         “Cantik tak baju kurung Pahang bersulam bunga emas ini?”


           “Cantik...ini pakaian perkahwinan kita.” Man boleh ingat baju itu, kerana dua tiga kali, pesak baju dijahit semula. Pinggan badan Siti memang ramping, walaupun rangka dada luas melebar. Cantik. “Siti masih boleh pakai baju nikah kita.”


           “Man...mesti boleh pakai baju Melayu.” Katanya sambil ketawa kecil.


           Man yang tadi dalam kegilaan berdoa, mula sedar bahawa dirinya compang-camping baju T putih, berlawan seluar birunya. Basah hampir semua bahagian busananya, dicium embun pagi, kemudiannya hujan lebat seketika. Berbau keringat pada tubuhnya, bercampur air mata kerinduan. “Baju Melayu...kalau nak pakai, memang boleh pakai...cuma bergelambir lah.”


          Waktu bernikah, badan Man besar seperti kerbau.  Beratnya 109 kilogram. Hitam melegam. Mujur bukan itu yang dipandang Siti, lebih tujuh tahun lalu. 


          16 Mei 2009, hari mereka bernikah, saling menyentuh tubuh, saling berkucup mesra atas ikatan kasih dan belas, Man sendiri berasa seperti tak sepadan. Siti sangat cantik dengan baju kurung Pahang bersulam kurung emas. Sementara Man hitam melegam, gemuk dan pendek. Di dalam gambar yang dipukul berkali-kali oleh Ika, sepupu Siti yang jelita juga, masih tak seperti pinang dibelah dua. Man seikhlasnya memberitahu kita seperti Beauty and The Beast.


          “Man...tahu kau mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari...” 


           Sangat istimewa, itu yang Man mula alami. Dari waktu Siti begitu sihat segar-bugar pada hari pertama mereka bertemu Universiti Sains Malaysia (USM), dekat Pulau Pinang. Sehingga lah saat yang terakhir ajal bersalam maut Siti di Hospital Muar pada 9 Januari 2017 kira-kira jam 2 pagi, Siti memang istimewa di mata man. 


           Bagi Man, seksi Siti bukan pada pinggangnya yang ramping. Atau, pada mahligai kebahagian yang merah, wangi dan cantik. Bukan juga pada buah dadanya yang tersembol indah. Semua itu adalah pemikiran seorang lelaki patriaki yang melampau terhadap seorang wanita, walaupun bukan pasangannya. Bagi Man, kalau seorang lelaki feminin jua mengambil kira semua itu - walaupun bukan yang paling utama, kelak, semua itu akan dimakan usia tua. Yang terus kekal remaja, tak mamah dijamah usia, antaranya perangai manusiawi seperti cinta, kasih dan belas Man terhadap isteri muda cantik jelita itu.


          Bagi Man, cantik muka dan cantik tubuh akan di makan tua. Namun, perangai dan budi sebenar hati Siti  senantiasa kekal remaja.


          Dan, bagi Man, seksi Siti adalah pada pemikirannya. Tiap-tiap malam, selama hampir tujuh tahun Siti bertarung sakit Cancer Hodgkin Lymphoma tahap 4, Man senantiasa duduk untuk saling berbual. Siti selalu bercakap, “Setiap kenangan ada kesetiaannya...” 


          Setelah Siti dijemput pulang dek Ilahi, baru Man sedar kata-kata isterinya itu. Perbualan Siti banyak mengubah Man. Man dari berbadan badal sumbu atau kerbau balar, beberapa tahun selepas kahwin, semakin surut obesitinya, berat pun kurang 80 Kg sahaja. Demi Siti!


           Walaupun Siti suka Man kerana keghairahannya menulis di dinding Facebook; mengenai agama, pemikiran, sejarah, radikalisme gerakan rakyat dan sebagainya. Man cuba menjadi apa sahaja yang diidamkan Siti. Kalau Siti begitu suka dengan buku-buku novel sejarah tulisan Pramoedya Ananta Toer pun, Man akan membacanya. 


         Man sangat suka perbualan Siti yang maha seksi. Kerana itu, bahan-bahan bacaan Siti terutama waktu terlantar di rumah sakit, habis semua turut dibaca Man. Man sangat tahu, daripada mana Siti kutip kata-kata, “...tahu kau mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari...” 


         Lain tak bukan kata-kata itu ditanam tuntas dan begitu radikal oleh Pramoedya Ananta Toer dalam Bumi Manusia, kerana Man membacanya juga.


(3) 


         Ketika ralit di pusara itu, Siti mengulang kata-kata Pramoedya Ananta Toer, sasterawan pembangun bangsa Indonesia itu. Dan, Man sangat empeti, dia tahu isterinya sedang menunjuk-nunjuk perasaan yang sangat tidak puas hidup untuk saling berbakti dan bercinta.


         Man...Siti membaca hampir semua di Facebook, terutama cerita mengenai anak kita, Solehah. Kata Siti, Solehah semakin ayu dan jelita juga. Licik berfikir mungkin menurun daripada Man, tapi petah bercakap dan kadang-kadang berdebat itu memang mewarisi bakat Siti. 


        “Terima kasih Man, sebab membawa pulang anak kita ke kampung. Sebenarnya Mak sayang Man, semacam Mak sayang Siti. Waktu kita berkahwin, bertambah anak Mak seorang lagi, waktu Siti pergi, Mak masih ada Man dan Solehah.” 


         Kata-kata Siti itu mengasak jiwa Man. Meruntun-runtun benaknya sayu. Man yang tadi telah mengemas muka dan diri, menggigil lagi. Teresak-esak batu perasaannya dipukul badai kata-kata Siti itu. Dia menangis macam budak kecil. Bukan kerana sedih atas pemergian isteri muda cantik jelita hampir dua tahun lalu. Tapi, kerana bertambah bersyukurnya Man dikelilingi ahli keluarga yang sangat baik terhadap dirinya. Anugerah ini sangat luas rasanya. Alhamdulillah!


        Man mengangguk sahaja. Semua kata-kata Siti itu benar belaka. Mendidik dan mengasuh jiwanya, untuk saling menghargai orang di sekeliling, termasuk lah isteri barunya, Zizi dan anak mereka, ‘Aid.


        “Man... pagi ini bukan Man nak ke Kuala Lumpur?”


        “Ya...” Man memberitahu dia ada janji temu dengan seorang wanita, kenalannya di Facebook. Wanita itu, anti patriaki juga seperti Siti. Di Facebook, wanita itu selalu menulis peri bahayanya sikap lelaki mengokong wanita secara fizikal, mental, emosional dan seksual.


        “Dia ajak Man menonton ‘wayang’...,” jelas Man. Kata Man lagi, wanita itu mengajak dia meneman tonton wayang bukan di pawagam, tapi di rumahnya.


        Mendengar kata-kata Man itu, Siti menyuruh suaminya pergi menemui wanita feminin itu. 


        Di dalam bas West Northern, Siti memberitahu Man apa yang sedang dia fikirkan. “Kalau wanita itu feminin, dan dia ajak Man meneman dia di rumah. Itu, tandanya dia begitu hormat dan percaya kepada Man. Mungkin ada perkara yang begitu sulit atau peribadi, dia memang mahu berkongsi. Jangan lah berfikir yang bukan-bukan seperti mereka yang patriaki.”


        “Man...Man percaya pada cinta yang tulus.” Tanya Siti lagi, “cinta yang tidak ada pengkhianatan, kecurigaan.”


        Man memberitahu dia juga tidak tahu sama ada nak percaya atau tidak dengan kewujudan cinta yang tulus di dunia.


         “Siti juga seperti Man, tidak pasti. Tetapi, Siti senantiasa memburu cinta yang tulus ini, walaupun sehingga kini tidak pasti sama ada tulus atau tidak mencintai Man,” kata Siti. Dia melepas rindu dan belas dengan melabuh kepala ke pundak suaminya itu.


         Sementara Man, serapat mungkin mengikat tubuhnya dengan isteri muda cantik jelita di kerusi kusyen bas yang mewah dan luas itu. Man memberitahu Siti bahawa perkahwinan memang kena ada dua benda iaitu kasih sayang dan belas.


          Kasih sayang, katanya, akan menyemarak lagi perasaan saling memerlukan antara seorang suami dan isteri. Manakala, perasaan belas pula akan memadam api kekhilafan dalam berumahtangga. Memanjangkan lagi pendapatnya kepada Siti. 


          Dalam memburu ketulusan cinta, Siti pula memberitahu kadang-kadang dia berlakon romantis waktu bersama Man, meskipun diri sendiri letih menyusu anak dan mengurus rumah. Namun, kata Siti, perasaan belas hadir dalam diri apabila melihat Man senantiasa menyokong, bersama-sama mengurus anak, membasuh kain, membangun tadika dan sebagainya.


          “Kadang-kadang kan Man, Siti rasa cinta yang tulis ini bukan sesuatu yang basah di bibir merah kita - I Love You semata-mata...” Sambung Siti lagi, “ketulusan cinta ini semacam mahu menjadi perenang yang baik, bukan boleh hanya berteorikal masuk kelas berenang, melainkan mesti dilempar ke laut yang bergelora.”


         Man mengeratkan lagi pelukan. Dia sangat kagum dengan cara isterinya berfikir.


(4)


         Sampai di Hentian Bas Bentayan-Muar, mereka terus memburu tiket di kaunter KKKL. Siti minta Man membeli satu tiket sahaja. Siti memberitahu dia hanya meneman Man sampai di sini sahaja.


         Oleh kerana itu, Man sengaja mengambi tiket lewat dua jam. Dalam jam 12 tengah hari baru, baru bertolak ke Kuala Lumpur. Walaupun bas ada sahaja setiap setengah jam bas bertolak di sini, Man mahu membakar waktu musafirnya dengan Siti. 


         Mereka menyambung cerita di Cafe Kopi 404 yang setentangan dengan stesen bas ekspess di sini. Man memesan secangkir kopi O, juga Holicks panas-panas, gelas ‘setinggi Komtar’ untuk Siti.


         “Minuman panas-panas ini memang cara lelaki membeli masa perempuan,” seloroh Siti. Dikuis-kuis baju T putih Man yang lusuh tetapi bersih. Lalu, dicuit puting tetek kiri Man yang ketara menonjol comel pada baju yang agak ketat itu. 


        Saling ketawa mereka. Perangai nakal Siti tak pernah berubah. Dan, kini semacam diwarisi oleh Solehah. Kalau Man mencuit bontot Solehah, anak dara seusia tujuh tahun itu akan mencuit lebih nakal punggung ayahnya. Nakal!

         

         “Man...boleh Siti tanya sesuatu.”


         “Satu jawapan, RM2 sahaja. Tanya lah,” seloroh Man sambil membelek ruas cincin pertunangan yang masih dipakai isterinya itu.


          “Kenapa Man menggigil-gigil melafazkan doa اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها” Belum sempat suaminya itu menjawab, Siti bertanya lagi soalan berantai lain, “Apa...Man fikir Siti sepi di sini? Atau, mungkin tersiksa di sini?”


          Man menjadi serba salah dengan soalan isterinya itu. Dia takut responsnya kelak menambah lagi kegelisahan Siti yang sendirian di sana. Lalu, dia berdalih yang lain. “Man bukan orang baik dalam beragama. Jadi, Man bimbang doa Man tidak sampai kepada Siti.” 


          Siti tersenyum. Katanya, kehidupan di perdamaian sepi ini sebenarnya jauh lebih indah, tidak seperti yang digambarkan di maya pada dahulu. “Di sana kan Man, tidak ada penindasan sesama kami. Hari-hari kami berbual mengenai kehidupan manusiawi di dunia, saling berprasangka, berebut kekayaan, kedudukan, kepuasan, sehingga tidak berfikir asal usul mereka kelak.”


         Kata Siti lagi, semua di sana adalah sama. Tanah tempat semua bersemadi pun bukan lagi milik mereka. Semuanya milik Tuhan, dan tak ada monopoli hak ketuanpunyaan tanah, seperti yang diburu oleh kapitalis neoliberal swasta di dunia sementara dekat sini.


        “Habis, bukan ada azab di kubur bagi golongan yang tamak serta menindas manusia lain di dunia,” tanya Man lagi.


       Kata Siti, Tidak. Di alam kubur, hanya ada cinta, kasih sayang, rindu dan kemanusiaan sahaja. “Kalau Tuhan itu kerjanya mengazab manusia sahaja di kubur, itu Tuhan dalam wajah patriaki sebegitu...Siti tak mahu sembah Tuhan salah wajah sebegitu.”


        “Habis... tidak ada azab di neraka?” tanya Man lagi.


       “Tiada...” Siti bahagia di sana. Tidak ada perasaan sepi dan sengsara seperti digambarkan kerana di desa perdamaian itu, Siti ditemani cinta, kasih sayang, rindu dan kemanusiaan sahaja. “Kalau begitu indahnya rahmat melimpah di sana, tidak tahu lah limpahan Rahmat Tuhan itu sebenar mana di Syurga yang tak bertepi itu.”


         Jelas Siti lagi, azab kubur itu mungkin adalah kepercayaan yang dijana oleh manusia yang hidup di dunia, di sini. Manusia menjana pemikiran sebegitu kerana mereka melihat sengsaranya manusia lain hidup di dalam penjara, kerana sabit melakukan satu-satu jenayah. Maka, manusia menganggap mereka yang terlepas dari hukuman di dunia, mereka akan berdepan azab yang lebih sengsara di alam kubur.


        “Agama adalah kepercayaan-kepercayaan yang dijana-jana secara kontrak sosial di kalangan komuniti manusia  sehinggalah menjadi agama di dunia. Kalau dijana kehidupan di alam kubur itu sengsara dan sepi, akhirnya kepercayaan sebegitu menjadi agama. Kalau dijana kehidupan di sana itu berbunga oleh perasaan cinta, kasih sayang, rindu dan kemanusiaan sahaja, akan ada limpahan rahmat sebegitu jua sebagaimana yang Siti tempuhi sekarang ini.” 


         Siti menjelaskan sedalam-dalamnya soal metafizik agama yang diwarnai oleh faham patriaki, sebagai menjawab perkara yang bersarang dalam fikiran Man. Sangat seksi. Seksi Siti pada pemikirannya. Itu yang Man rasa. “Di sana kelak, apa boleh Man hidup bersama Siti seperti di dunia?”


        Di dunia ini adalah dunia yang sementara, kata Siti. Apabila mati anak Adam, yang kekal adalah ruh sahaja. “Kerana rahmat Tuhan lah, Siti ada minum Holicks gelas Komtar di sebelah Man ini,” seloroh Siti lagi. 


       Jelas Siti lagi, sepatutnya agama itu dianggap sebagai budaya - atau setepatnya adalah budaya beragama. “Budaya beragama ini bagaikan lukisan yang diconteng-contong oleh banyak pihak, sehinggakan kita tidak tahu sama ada Tuhan yang menconteng lukisan itu atau kesemuanya adalah hasil contengan manusia bergelar agamawan. 


       Katanya lagi, sebagai manusia sama ada di dunia ataupun di alam seterusnya selepas mati, yang melihat contengan lukisan itu, secara abstrak boleh menyebut “lukisan ini cantik” atau “lukisan ini comot”. Sangat abstrak budaya beragama ini, menurut Siti, samalah seperti kita menganggap Tuhan suka melimpah rahmat kepada mereka yang kekal hidup di alam kubur atau diazab Tuhan. 


       “Dahulu pun, ada Ustaz mengatakan doa yang bukan datang daripada anak soleh tidak sampai kepada Si Mati, kerana sabit dengan suatu hadith Nabi. Tapi, apabila melihat Nabi sendiri berdoa seperti Man berdoa sampai bergigil-gigil buat Siti - اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها - kalau tak sampai kepada Si Mati, buat apa Nabi berdoa...akhirnya budaya beragama kita semakin majmuk, berubah secara relatif. Agama kan!”


        Man belajar sesuatu lagi di meja minum di sini. Agama juga adalah seperti budaya, tidak statik secara mutlak, tetapi berubah-ubah disebabkan cara manusia menjana pemikiran beragama itu sendiri berubah-ubah. “Walaupun macam-macam neratif agama, patut kita terima kepelbagaian ini sama seperti budaya, berubah-ubah dan patut dihargai, bukan diperangi kerana ada ikhtilaf sesama manusia.”


(5)


       Jarum pendek dan panjang jam hampir berpeluk dan bersatu pada angka 12.00. Tengah hari yang sangat mendung dan indah itu seakan menunggu saat mereka berpisah seketika di sini. Man akan bergerak ke Kuala Lumpur, tinggal lah Siti pulang ke perkampungan damai sepi abadi, di sini.


      “Man...kalau seseorang wanita itu mengajak kita teman dia menonton filem di rumahnya, itu tandanya dia percaya dan mungkin mahu berkongsi sesuatu dengan kita. Itu, pelawaan yang sangat seksi. Sampaikan salam Siti untuknya. Bantu dia, kalau dia seorang wanita yang feminin, dia memang tengah gigih melawan patriaki.” kata Siti kepada Man, sementara dedaun pintu bas ekspres Mayang Sari masih berbuka. 


      Man angguk sahaja. Dia cepat-cepat membawa Siti ke dalam pelukannya. Sangat erat, sehingga tidak ada langsung ruang melainkan perasaan rindu, kasih, belas dan cinta yang maha tulus. Dia menangis lagi. Dalam hatinya berdoa, “moga air mata kita berdua menyemarak lagi kenangan kita.”


      Dari tempat duduk di dalam perut bas ekspres itu, Man mencium tangannya sendiri. Begitu juga Siti, mencium tangannya sendiri. Mereka sedang memburu cinta yang lebih tulus.


END



_______________

30 November 2018 | 11.52 pagi

Muar, Johor.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus