Kon Yeow harap mutu khidmat pelanggan penuhi ekspektasi rakyat


(Depan, Dari Kiri) FARIZAN Darus, Ketua Menteri dan Zulkifli Long selepas Mesyuarat Taklimat Khas Hal Ehwal Pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (DTL) di tingkat 51 Komtar, di sini pada 11 pagi tadi. 


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap mutu khidmat pelanggan di semua jabatan negeri terus diperbaiki serta ditingkatkan lagi, selari dengan ekspektasi rakyat yang mahu melihat perubahan yang lebih besar dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

Atas maksud itu, katanya, lawatan sulung kerja ke Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (DTL) di tingkat 51, Komtar di sini pada 11 pagi tadi, mungkin akan dilanjutkan ke jabatan-jabatan negeri yang lain pada masa depan, selain turun padang menyaksikan sendiri keadaan sebenar rakyat di kelima-lima daerah di negeri ini.

"Cabaran pada hari ini sangat besar dan ekspektasi rakyat juga sangat tinggi, sejajar dengan harapan rakyat jelata di Daerah (Timur Laut) ini," jelas Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang kepada pemberita.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Seri Farizan Darus, diberi taklimat mengenai hal ehwal pentadbiran sekitar DTL oleh Pegawai Daerah Zulkifli Long sendiri.

ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari yang juga Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir; ADUN Pulau Tikus, Lee Cun Kit; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang turut sertai majlis taklimat khas mengenai DTL bersama-sama Ketua Menteri tersebut.

Rombongan Kon Yeow turut dibawa bertemu serta mendapatkan maklum balas langsung daripada para pegawai serta kakitangan sokongan di Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (DTL) di sini.

Comments

Disqus