Skip to main content

Projek perintis tebatan banjir SPS bawa pulangan hasil korek tanah Sungai RM230,000 - Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah) saling berbincang dengan Law Choo Kiang (empat dari kiri) mengenai projek perintis tebatan banjir tiga sungai di sini pada lagi tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperuntukkan RM1.093 juta untuk projek memperdalam dan membaiki Sungai Junjung, Sungai Duri dan Sungai Jawi.

Katanya lagi, ini mungkin projek perintis untuk Kerajaan Negeri mendapatkan pulangan hasil royalti daripada kontraktor yang dilantik untuk kerja-kerja pengorekan pasir sungai.

"Sebelum ini, bagi pelaksanaan kerja pengorekan pasir, selain sungai dapat didalamkan, Kerajaan Negeri tidak mendapat apa-apa hasil.

"Melalui Projek Perintis ini, Kerajaan Negeri akan mendapat hasil melalui bayaran royalti setelah kontraktor mendapat kelulusan Permit 4B (Lesen Pendudukan Sementara), dan permit yang disatukan di bawah Bab 3 Kanun Tanah Negara 1965, di mana permohonan adalah di dalam kontrak," jelas Kon Yeow pada Majlis Pecah Tanah Projek Mendalamkan dan Membaiki Sungai Junjung, Sungai Duri dan Sungai Jawi di sini pada pagi ini.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut memuji cetusan idea inovasif Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Muluk, sehingga menjadi hasil baharu kepada Kerajaan Negeri.

"Kerajaan Negeri dijangka mendapat hasil melalui skop pengorekan pasir sebanyak RM230,000, melalui korekan 32,000 meter persegi, bersamaan 57,000 metrik tan (pasir).

"Melalui projek perintis ini, saya berharap kaedah-kaedah yang dilaksanakan oleh JPS dan Pejabat Tanah dapat diteruskan, dan memberi pulangan hasil baharu kepada negeri ini," jelas Kon Yeow lagi.

Sebelum itu, Sabri memberitahu kerja-kerja menaiktaraf tebing Sungai Duri sepanjang 350 meter (m) menggunakan kaedah tembok Gabion; pemasangan jerucuk konkrit sepanjang 100 m tebing Sungai Jawi; kerja memperdalam Sungai Junjung melibatkan kerja pengorekan pasir sepanjang 4 kilometer dari Kampng Kuala Tasek hingga Jalan Persekutuan Simpat Empat di sini.

"Melalui projek perintis ini, diharapkan akan mengurangkan risiko banjir kilat di Kampung Sethu, Sekolah Menengah Agama Ad-Diniyyah, Taman Sungai Duri, Kampung Lima, Kampung Surau dan beberapa lagi kawasan sekitarnya," ujar Sabri.

ADUN Bukit Tambun, Dato' Law Choo Kiang yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; dan Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Illias Masri Abdul Muin turut sertai majlis ringkas tersebut.