Skip to main content

Exco Kesihatan puji penganjuran program CPR-AED hampir pecah rekod MBOR 2015



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Sesi latihan kecemasan menyelamat mangsa serangan jantung melalui teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan alat Automated External Defibrillator (AED) di Sekolah Tinggi Han Chiang baru-baru ini menerima pra pendaftaran peserta seramai 5,535 orang daripada kalangan guru dan pelajar.

Ketika berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata jumlah pra pendaftaran tersebut hampir memecah rekod peserta terbesar dalam sesi CPR seramai 6,806 orang pada tahun 2015, dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

"Saya dimaklumkan pra pendaftaran pada hari ini ini seramai 5,535 orang, dan jumlah pra pendaftaran di Sekolah Tinggi Jit Sin yang akan diadakan serupa program ini pada 6 Mei nanti adalah seramai 4,965 orang.

"Tahniah kepada Lion Club of Georgetown Central selaku penganjur dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan beberapa pihak lagi kerana hampir memecahkan rekod MBOR dua tahun lepas," jelas Dr. Afif Bahardin kepada pemberita di Sekolah Tinggi Han Chiang di sini pada 8 April lepas.

Dr. Afif turut merakamkan penghargaan kepada beberapa penganjur bersama lain, antaranya Hospital Pulau Pinang; Hospital Seberang Jaya; St. John Ambulans Malaysia Negeri; Malaysia Red Crescent Society - Cawangan Pulau Pinang; Persatuan Kebajikan Perubatan Kecemasan Pulau Pinang; serta barisan penaja program bersama itu.

"Kempen ini akan membantu pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan CPR (dengan menggunakan alatan) AED demi menyelamat menyelamatkan nyawa mangsa serangan jantung.


"Ia (AED) direka untuk membantu meningkatkan keupayaan pelajar untuk berjaya melaksanakan CPR, sekiranya berlaku kecemasan, sebelum bantuan perubatan dari hospital tiba," jelas Dr. Afif.