Skip to main content

Guan Eng harap lembaran baru buat Taman Cantik selepas rumah pam RM40 juta siap dibina



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Kerajaan Negeri memperuntukan RM40 juta untuk membina rumah pam demi mengurangkan lagi risiko banjir kilat yang didepani oleh penduduk Taman Cantik serta sekitar kawasan di sini, kelak.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika melawat rumah sebuah keluarga yang dilanda banjir kilat setinggi dua kaki, semalam.

"Kawasan ini (Taman Cantik) sebenarnya adalah di kedudukan kawasan tanah rendah sejak dahulu lagi.

"Saya datang ke sini bukan sahaja untuk menzahirkan simpati tetapi juga memberikan keyakinan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah merancang satu program tebatan banjir.

"Kita (Kerajaan Negeri) harap (projek rumah pam ini disiapkan) dalam dua tahun hingga dua tahun setengah, akan membuka lembaran baru di kawasan Taman Cantik ini," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan ketika melawat keluarga seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai 'Lim'.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri sebelum ini telahpun memasang dua pam air untuk mengurangkan risiko banjir kilat.

Namun, katanya lagi, inisiatif jangka pendek itu seakan kurang berkesan disebabkan lambakan air yang banyak apabila hujan lebat secara berterusan berlaku di sini.

"Kalau ada niat baik tetapi tiada wang, tidak boleh buat apa-apa.

"Nasib baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada sedikit wang (surplas), maka bolehlah membelanjakan wang (RM40 juta) ini untuk kebajikan rakyat (melaksanakan projek tebatan banjir)," jelas Guan Eng sambil menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada semua mangsa banjir di Taman Cantik.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti; Phee Boon Poh (ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar); dan A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) turut sertai lawatan ringkat Guan Eng ke rumah mangsa banjir tersebut.