Skip to main content

P.Pinang mohon RM350 juta, Pusat lulus RM150 juta RTB Sg. Pinang

CHOW Kon Yeow  (paling kiri) menunjukkan keadaan tebing Sungai Pinang selepas pelaksanaan fasa dua RTB, ketika lawatan kerja pasca kejadian banjir kilat di daerah Timur Laut di sini baru-baru ini. 

Exco harap RTB Lembangan Sg. Pinang mula Q2 2017

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri dan Persekutuan akan mengemukakan semula pelan rekabentuk, laporan penyiasatan tapak serta melantik jurutera perunding berwajib berdasarkan peruntukan RM150 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang sesegera mungkin.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri berharap kerja-kerja tebatan banjir yang menelan belanja RM125 juta serta RM25 juta lagi untuk memulihara sungai dapat dilaksanakan pada Suku Kedua (Q2) tahun 2017.

“Kita merasakan projek ini amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada insiden banjir.

“Projek ini diharapkan akan mula dilaksanakan pada suku kedua tahun 2017,” jelas Kon Yeow pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar, petang tadi.

Tambah beliau, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Sri Dr. Wan Junairi Tuanku Jaafar memberitahu Kerajaan Negeri melalui JPS masih boleh memohon peruntukan tambahan RTB kelak, selepas projek ini siap.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri melalui JPS mengemukakan permohonan peruntukan lebih 20 tahun lalu lagi untuk menangani risiko banjir di negeri ini, dan peruntukan untuk Pulau Pinang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) dalam tempoh 1996 hingga 2000.

Dalam RMK-11 yang dibentangkan pada 23 Mei 2015, Kerajaan Pusat berjanji untuk memberikan peruntukan berwajib untuk lima projek RTB di negeri ini, keseluruhannya berjumlah RM997 juta.

Mengikut pecahan, kos solusi RTB Lembangan Sungai Pinang sahaja direkodkan bernilai RM654 juta, diikuti RTB Lembangan Sungai Perai (RM70 juta), RTB Lembangan Sungai Juru (RM80 juta), RTB Lembangan Sungai Jawi (RM40 juta) dan RTB Bayan Lepas (RM153 juta). 

Kon Yeow memberitahu, dalam beberapa kejadian banjir baru-baru ini menggesa Kerajaan Pusat meluluskan RM350 juta untuk projek RTB Lembangan Sungai Pinang yang dianggap 'ibu penyelesaian utama' bencana banjir kilat di bahagian Pulau.

“Memandangkan peruntukan RM150 juta telahpun (Pusat) turunkan, maka JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) perlulah mengkaji semula skop (projek RTB Lembangan Sungai Pinang) ini berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat,” jelas Kon Yeow lagi.

Sungai Pinang bermula dari Dobi Ghaut hingga muara Sungai Pinang.

Manakala, lembangan Sungai Pinang terdiri daripada enam anak Sungai dari Bukit Bendera dan Air Itam mengalir ke Sungai Pinang.

Enam anak sungai tersebut adalah Sungai Dondang, Sungai Kechil, Sungai Air Putih, Sungai Air Itam, Sungai Air Terjun dan Sungai Jelutong.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri pada 7 November lalu mengumumkan kelulusan serta-merta RM665,000 peruntukan tujuh projek RTB yang dimohon JPS, sebagai langkah menangani risiko banjir berskala jangka pendek di negeri ini.