Skip to main content

Azmin mahu 5 ADUN PKR P.Pinang sokong dasar Kerajaan Negeri



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI BESAR, SELANGOR - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali mahu lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) partinya di Pulau Pinang menyokong polisi pentadbiran Kerajaan Negeri ini, lapor berita atas talian The Star http://goo.gl/ZJSrsa semalam. 

Mereka,  Dr Norlela Ariffin (Penanti), Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr. T. Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk) yang mengambil langkah 'berkecuali' daripada mengundi suatu usul pembangkang berhubung projek tebus guna tanah yang dirancang oleh Kerajaan Negeri, dalam  persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada bulan November tahun lepas. 

"Namun, sudah tentu mereka (kelima-lima ADUN PKR berkenaan) akan dibenarkan untuk mengajukan sebarang kemusykilan mereka dan jika mereka mempunyai asas, (kerana) forum terbaik bagi mereka untuk membincangkan (adalah di dalam) 'dewan' (DUN)," kata Azmin.

Menteri Besar Selangor berkenaan dilaporkan memberi respons itu selepas menyampaikan baucar untuk membantu perniagaan kecil di bawah program Hijrah Selangor.

ADUN UMNO kawasan Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad sekali lagi mengemukakan usul pada persidangan kali ini, yang dijangka mungkin mendapat sokongan kuat daripada kelima-lima wakil rakyat daripada PKR. 

Azmin dilaporkan berkata kelima-lima ADUN terbabit mestilah menyokong dasar-dasar Kerajaan Negeri selepas berkongsi kebimbangan mereka serta membincangkan perkara berbangkit itu dalam DUN nanti.

Ujarnya lagi, Chin Wen dan empat ADUN PKR lain mestilah membataskan perbahasan dan perbincangan mengenai usul dalam perhimpunan mereka dan tidak boleh menggunakan lain-lain mekanisme yang boleh melemahkan Kerajaan Negeri.

10 Mei lalu, dilaporkan satu-satu usul yang diterima untuk dibahaskan pada sesi persidangan DUN Pulau Pinang kali ini adalah yang dikemukakan oleh Muhamad Farid untuk membatalkan terus projek tambak laut yang sedang diusahakan oleh pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

20 November lalu, Muhamad Farid mengemukakan usul supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, maklum balas awam dan Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar (DEIA).

Speaker DUN Dato' Law Choo Kiang menolak usul itu selepas 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali.

Lima Adun PKR terbabit mengambil langkah berkecuali semasa proses pengundian secara belah bahagi dibuat di dalam DUN.

Usul itu turut disokong ADUN DAP bagi kawasan Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Bagaimanapun, Yee Cheu kemudiannya memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media, selepas sesi persidangan DUN.

Mengulas lanjut, Guan Eng  yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menjelaskan bahawa pendirian Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dato' Mohd. Rashid Hasnon serta tiga  pemimpin lain PKR dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri bersama-sama menolak usul yang dikemukakan oleh ADUN UMNO kerana mereka mengetahui risiko bankrap yang terpaksa ditanggung oleh Keredaan Negeri.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemungkinan terpaksa membayar pampasan berbilion ringgit sehingga terdedah pada risiko bankrap, jika projek tambakan laut oleh pemaju terbabit ditangguhkan.

Maka baginya, Pengerusi Biro Penyelarasan Ahli Parlimen & ADUN PKR, Datuk Johari Abdul kemungkinan tidak sedar risiko bankrap yang bakal ditanggung oleh Kerajaan Negeri, semasa memberi ulasan bahawa tindakan kelima-lima ADUN terbabit hanya pengundian mengikut suara hati (conscience vote) berkaitan isu alam sekitar, bukan partisan.

"Walaupun BN meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) ditebus guna.

"Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang (pemaju) E & O (Development Sdn Bhd) boleh menyebabkan Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion.

"Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu Kerajaan Negeri  (Pakatan Harapan Pulau Pinang) sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya," tanya Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan.