Skip to main content

Temu duga 'face-to-face' 10 industri di Karnival Kerjaya 10 April, umum Mohd. Rashid Hasnon

TIMBALAN Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon (tengah), Francis Wong (kiri sekali), Leong Yook Kheong (empat dari kiri) serta dua lain pada sidang media mempromosi Karnival Kerjaya Dan Temu Duga Terbuka 2016 - Industry Looking For Talents, di Komtar, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Jabil Circuit Sdn. Bhd. dan Jinco Solar Technology Sdn. Bhd. merupakan antara 10 industri yang akan mengendali sendiri temu duga secara langsung, dalam Karnival Kerjaya & Temu Duga 2016 di Hotel Vistana dekat Bayan Baru pada 10 April ini mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata, mereka yang berminat bolehlah menyediakan salinan dokumen kelayakan peringkat diploma dan ke atas diharap untuk sesi temu duga 'satu sama satu'.

"Sesi temu duga face-to-face akan dilaksanakan...ini peluang untuk mereka mencari kerjaya idaman.

"Tiada caj tambahan kepada mana-mana agensi cari kerja dikenakan, kerana temu duga dikendalikan oleh para penggerak industri sendiri," jelas Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak kepada pemberita di sini pagi tadi.

Dua wakil penganjur, Pengarah Urusan PenExpo Events Sdn. Bhd., Francis Wong dan Bendahari Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Seberang Perai, Leong Yook Kheong turut sertai sidang media promosi tersebut.

Justeru, Mohd. Rashid berharap karnival kali ini menerima pengunjung lebih ramai, berbanding kira-kira 1,500 pengunjung ke program serupa di Hotel Exora Seberang Jaya pada tahun lalu.

Tujuh lagi industri lain yang menyertai karnival kali ini adalah ASE Electronics (M) Sdn. Bhd., Inari Technology Sdn. Bhd., Panasonic Automotive Systems Malaysia Sdn. Bhd., Pusat Latihan Kemahiran Sri Bayan PLT (institut kemahiran kulinari), South Island Garment Sdn. Bhd., dan Vistana Penang Bukit Jambul sendiri.