Skip to main content

Ramasamy bimbang kes mati dalam lokap polis meningkat

P. Ramasamy berucap pada Majlis Kempen Menentang Penyeksaan & Hukuman Zalim dekat konkos Komtar di sini, semalam.


GEORGE TOWN Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy melahirkan rasa bimbang dengan peningkatan kes kematian di dalam lokap polis di negara ini.

Katanya, hampir 255 kes kematikan di dalam lokap direkodkan di seluruh negara antara tahun 2000 hingga 2014, namun dua kes sahaja diakui berpunca daripada pihak polis sendiri.

Kematian dalam tahanan adalah satu isu yang harus dipandang serius kerana di negeri ini sendiri, sebanyak 9 kes direkodkan pada tahun 2014 dikuti 4 kes pada 2015,” kata Ramasamy ketika berucap pada Majlis Kempen Menentang Penyeksaan & Hukuman Zalim dekat konkos Komtar di sini baru-baru ini.

Majlis kempen kesedaran itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dengan kerjasama dua organisasi bukan kerajaan (NGO), Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di bawah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Amnesty International Malaysia (AIM).

Tegas Ramasamy lagi, kes sebegitu sepatutnya tidak berlaku kerana setiap individu mempunyai hak kepada nyawa, sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Lanjutan itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri melalui penubuhan sebuah jawatankuasa khas sebelum ini diarahkan merekod kes kematian di dalam lokap polis di Pulau Pinang sahaja.

Tidak adil bagi mereka (tahanan) dan keluarga mangsa kerana hak-hak individu tidak terpelihara.

Malah, masih ramai daripada mereka (keluarga mangsa) tidak sedari kewujudan hak-hak individu yang membolehkan dituntut mengikut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM),” tegas Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi berkenaan turut menggesa semua pihak berwajib supaya merangka langkah penyelesaian yang lebih proaktif demi mestikan kes kematian dalam lokap polis tidak lagi berulang.

Sepanjang tahun 2014 sahaja, difahamkan, sebanyak empat mangsa kematian dalam lokap di Pulau Pinang.

Mereka, mendiang A. Punniyanathan, 40, meninggal dunia di lokap Nibong Tebal pada 10 Februari; Ramasamy Nagu, 50, mati pada 1 Mac di lokap Bayan Baru; Koay Soon Guan, 41, mati pada 6 April di Penjara Pulau Pinang; dan Murugan Muniandy, 37 mati pada 13 April di lokap Bandar Perda.