Skip to main content

Karnival permotoran mampu gamit ramai pelancong ke Pulau Pinang, kata Rashid Hasnon

SEKUMPULAN pengunjung dari Kedah meneliti motosikal yang dipamerkan di Karnival Usahawan Permotoran Peringkat Pulau Pinang di sini baru-baru ini. 

BUKIT TAMBUN -  Lebih 40 gerai pameran dibuka semasa berlangsungnya Karnival Usahawan Permotoran Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan parkir Stadium Batu Kawan di sini baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata karnival seumpama itu diharap menggamit lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang, selain mengembangkan potensi prospek perniagaan berkaitan permotoran berkuasa tinggi di negeri ini.

MOHD. Rashid Hasnon (menunggang motosikal) bersama-sama Maktar Shapee (berdiri, bertopi keledar) bergambar kenangan bersama para pengunjung di sini baru-baru ini.
“Di tahun 2016 juga, kita mampu lihat pelbagai revolusi yang terjadi kepada teknologi permotoran di negara ini, misalnya kita dapat lihat kecanggihan, aksesori, kreativiti dan sebagainya yang mampu ditonjolkan pada karnival ini.

"Ianya mampu menjana pendapatan jika terlibat dengan lebih serius," ujar Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat semasa menyempurnakan majlis perasmian penutup karnival tersebut. 

SEKELUARGA turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan sebuah motor antik yang dipamerkan pada Karnival Usahawan Permotoran Peringkat Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
ANTARA reka bentuk hiasan dalaman pada salah satu kereta.
Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap,  Dato' Maktar Shapee dan Amir Mohd. Ghazali (Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I).

Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak memberitahu karnival berlangsung pada 1 hingga 3 April menerima kunjungan lebih 10,000 orang, pelancong asing. 

Aksi drift, pameran kenderaan klasik serta gerai jualan aksesori dan audio antara acara menarik di karnival tersebut.

Memetik laporan rasmi Tourism Malaysia terbaru, Pulau Pinang unggul sebagai destinasi pelancongan pilihan ketiga negara dengan jumlah pengunjung seramai 4.89 juta dalam tempoh Januari hingga September 2014, di belakang Kuala Lumpur (11.68 juta orang) dan Pahang (7.81 juta orang).

Berdasarkan angka itu, jumlah pelancong ke negeri ini meningkat sebanyak 38.57 peratus, berbanding tempoh sama pada Januari hingga September 2013 berjumlah 3.52 juta orang.