Skip to main content

Guan Eng dedah Shabudin, Perda jual tanah awam di bawah harga pasaran

KETUA Menteri dan barisan Exco Kerajaan Negeri pada sidang media di Komtar, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Giliran Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Lim Guan Eng pula memulangkan paku buah keras kepada Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Sebelum ini, Shabudin mendedahkan Guan Eng membeli rumah daripada Phang Li Khoon dekat Jalan Pihorn dengan harga RM2.8 juta, didakwa di bawah harga pasaran semasa.

Menurut Guan Eng, rumah itu dibeli dengan pinjaman bank sejumlah RM2.1 juta dan simpanan peribadi RM700,000 daripada sumber menjadi wakil rakyat dan Ketua Menteri.

GAMBAR dokumen berwajib yang mendedahkan tanah awam dijual di bawah pasaran, apa respons Perda dan Shabudin?
Baru-baru ini Guan Eng pula mendedahkan mengenai Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang dipengerusikan Shabudin, menjual sebidang tanah awam dekat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di bawah harga pasaran juga.

"Tanah 8.5 ekar ini dipecah milik kepada 18 petak yang mengandungi 256 lot dengan harga jualan RM1,427,025.60 (RM1.427 juta) sedangkan nilai (tanah tersebut) oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah RM16,636,626.00 (RM16.636 juta).

"Ini bermakna kehilangan kepada PERDA RM15,209,600.40 (RM15.209 juta) kerana menjual tanah tersebut pada harga RM1.427 juta iaitu 8.60 peratus daripada keseluruhan harga pasaran," kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP di sini, semalam.

Memetik laporan atas talian Malaysiakini, Shahbudin dalam reaksi balas berkata beliau akan mengadakan sidang media bagi menjawab dakwaan Guan Eng itu esok (2 April).