Skip to main content

Usaha PAS, IKATAN tubuh 'blok ketiga' teka-teki, respons Guan Eng

KETUA Menteri Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Usaha PAS menubuhkan 'blok ketiga' bersama-sama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) lebih dilihat sebagai teka-teki di sisi rakyat, respons Lim Guan Eng.

"Ia (Blok Ketiga) teka-teki, lebih-lebih lagi apabila mereka dilihat cenderung menyokong Perdana Menteri dan Umno...macam menyokong Datuk Seri Najib (Tun Razak) dikekalkan

"Sehingga rakyat bertanya, adakah undi PAS tidak banyak berbeza dengan undi Umno," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada pemberita di Komtar petang tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan berkata, PAS juga perlu membuktikan bahawa pakatan pembangkang baharu itu lebih komited memerangi rasuah, termasuk berpendirian tegas dalam krisis kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 'sumbangan' RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

Ujarnya lagi, PAS serta parti sekutunya juga perlu membuktikan diri masing-masing lebih membela kebajikan rakyat terbanyak.

"Bagaimana mereka boleh buktikan mereka lebih baik daripada BN, jikalau mangsa banjir (di Kelantan) selepas lebih setahun masih duduk dalam khemah," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng sekali lagi membidas Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, yang dilaporkan berkata bahawa wanita patut duduk di rumah sahaja sebagai isteri dan ibu, kerana jika kedua-dua suami dan isteri berkerja, ia menjadi salah satu punca perceraian.

"Mana-mana pakatan alternatif mestilah bersikap inklusif, mesti hormati semua orang khususnya wanita, jangan memandang rendah wanita yang bekerja," jelas Guan Eng, sambil menyerahkan kepada rakyat untuk menilai komitmen 'Blok Ketiga' tersebut.

Dalam 'Blok Ketiga' yang ditubuhkan hari ini, PAS diketuai oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, manakala, IKATAN diketuai Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, selaku presiden parti merangkap bekas Menteri Barisan Nasional.