Skip to main content

Himpunan lebih besar 27 Mac, Presiden PasMa ramal satu lagi parti baharu tubuh

PHAHROLRAZI Mohd.  Zawawi (depan, kiri) memberi taklimat khas sebelum sesi dialog terbuka dengan para perwakilan peringkat negeri di Sekretariat PasMa Parlimen Sungai Petani di sini, malam tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SUNGAI PETANI - Suatu pertemuan tertutup yang lebih besar akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 27 Mac ini, selepas sidang media 'Selamat Malaysia' membabitkan ahli-ahli politik termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini. 

Presiden Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Dato' Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi meramalkan sebuah lagi parti politik baharu akan ditubuhkan daripada jalur dalaman Umno kelak.

"Himpunan secara tertutup ini lebih besar kira-kita 1,000 orang, mesti membabitkan tokoh perseorangan serta aktivis-aktivis  NGO.

"Tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mesti ada platform politik, dan tidak dapat tidak sebuah lagi parti politik baharu mesti ditubuhkan dan mesti menganggotai Pakatan Harapan.

"Kalau (penuhuhan parti politik baharu) ini berlaku, ia akan menggandakan kekuatan blok pembangkang (yang terdiri oleh) PKR, DAP dan AMANAH dalam menghadapi Barisan Nasional pada PRU14 nanti.

"Selepas teroka kerja awal menubuhkan AMANAH, kita (PasMa) akan ada lagi peranan untuk ambil bahagian yang patut, sampai wujud sistem dua parti untuk mengalahkan Barisan Nasional dan bukan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya sahaja letak jawatan," kata Phahrolrazi pada Sidang Taklimat Politik Semasa PasMa di sini, malam tadi.

Katanya, PasMa akan menghantar 20 perwakilan pada persidangan tertutup 27 Mac nanti.