Skip to main content

1 Jun kuatkuasa dasar pengasingan sisa di punca, kompaun kemudian, respons Setiausaha MPSP

ROZALI Mohamud (kiri) menyerahkan sijil pelantikan kepada Moses Poon, pada Majlis Pelancaran Pengasingan Sisa Di Punca Kategori Hotel di Hotel Exora, Seberang Jaya, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kadar serta tindakan kompaun berwajib akan dilaksanakan kemudian oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), tetapi dasar pengasingan sisa di punca tetap dikuatkuasakan mulai 1 Jun depan.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Perintis Dasar Pengasingan Sisa Di Punca Kategori Hotel di sini pada petang tadi.

Pada majlis itu, Rozali menyampaikan sijil pelantikan projek perintis kategori hotel kepada Pengurus Operasi Hotel Exora, Moses Poon.

"Tempoh pendidikan secara rasmi telah pun dilaksanakan sejak 1 Januari (2016) lalu lagi.

"Tapi, tindakan kompaun itu mungkin kita (MPSP) tak mulakan lagi sehingga kadar kompaun diwartakan kelak, tetapi penguatkuasaan terus berjalan mulai 1 Jun nanti," jelas Rozali kepada pemberita.

Menurut beliau, kadar kompaun maksimum sedia ada adalah sebanyak RM250.

Rozali dalam ucapannya memberitahu bahawa Pulau Pinang mencatatkan kadar kitar semula tertinggi di Malaysia, iaitu 32 peratus.

Pencapaian di negeri ini,  katanya, melepasi sasaran peringkat kebangsaan menjelang tahun 2020, iaitu 20 peratus sahaja.

"Bagaimanapun, kadar 32 peratus ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Australia dengan kadar kitar semula sebanyak 63 peratus, Jerman (62 peratus) dan Singapura  (59 peratus).

"Kita tiada pilihan selain terpaksa mengubah cara hidup kita demi menikmati pembangunan mampan seperti negara-negara maju ini," jelas Rozali lagi.

Tambah Rozali lagi, Hotel Ixora dipilih sebagai projek perintis atas kejayaannya melaksanakan aktiviti kitar semula sebelum ini. 

"Pada tahun 2015, 37,608.3 kilogram sisa berjaya diasingkan oleh pihak Hotel Ixora, yang terdiri daripada 24,650 kilogram sisa dapur serta 12,958.3 kilogram barang kitar semula dan tidak (boleh dikitar semula) ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

"Peratusan barang yang boleh dikitar semula mengikut jenis adalah 63.2 peratus (8,189.47 kilogram) surat khabar dan kadbod, diikuti 22.24 peratus (2,881.95 kilogram) botol plastik dan minyak masak terpakai sebanyak 12.76 peratus (1,642 kilogram), manakala yang selebihnya adalah tin dan aluminium," jelas Rozali lagi.

Sebelum itu, Moses Poon dalam ucapannya melahirkan penghargaan atas inisiatif MPSP melantik Hotel Ixora sebagai projek perintis dasar pengasingan sisa di punca kategori hotel bagi Bahagian Seberang Perai.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Unit Pengasingan Sisa Di Punca Bahagian Kerajaan Tempatan Kerajaan Negeri, Yusran Mohd. Yunus serta para Ahli Majlis MPSP lain.