Skip to main content

Selepas dialog antara agama, Mufti P.Pinang syor perbaiki undang-undang syariah

WAN Mohd. Salim Wan Mohd. Noor (kiri) saling bersalaman dengan Sebantian Francis, selepas majlis dialog kira-kira dua jam membabitkan para pemimpin kedua-dua agama di Pejabat Mufti Pulau Pinang di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Sebahagian undang-undang syariah mengenai hak penjagaan anak serta perkahwinan sivil yang membabitkan tuntutan waris bukan Islam di negara ini perlu diperbaiki.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata demikian selepas saling berdialog kira-kira dua jam dengan Bishop Pulau Pinang, Sebantian Francis serta para pemimpin kedua-dua agama baru-baru ini.

"Apabila tidak ditemui ketentuan (hukum syarak) ini di dalam al-Quran dan Hadith, kita pertimbangkan dari segi kepentingan awam.

"Kalau benda itu memberi kepentingan awam, maka agama kita (Islam) merestui, tetapi tidak boleh memudaratkan dan menyusahkan," jelas Wan Mohd. Salim di Pejabat Mufti Pulau Pinang dekat Komtar di sini, 29 Februari lalu.

Beliau turut mengulas mengenai Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan bahawa Mahkamah Sivil adalah forum yang sesuai untuk memutuskan mengenai pembubaran perkahwinan serta hak penjagaan kanak-kanak apabila seorang daripada pasangan memeluk agama Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.

"Terserah kepada kehakiman, mungkin artikel tertentu itu perlu dibuktikan (ditafsirkan)," respons beliau kepada pemberita.

Dalam perkembangan lain, Wan Salim menegaskan Islam memerangai aktiviti melampau dan keganasan sebagaimana dilakukan oleh Kumpulan Negara Islam Irah dan Syiria (ISIS), serta beliau berharap semua rakyat tanpa mengira agama berlumba-lumba melaksanakan pembaikan nilai dalam negara.

"Apabila kita mengkaji sumber utama agama-agama selain Islam pun, saya dapati tidak ada agama yang menyeru kepada ekstremisme...semua agama menyuruh manusia saling berbuat baik," jelas beliau.

Sebelum itu, Wan Salim melahirkan rasa terharu kerana buat julung kalinya dialog antara beliau dan Ketua Paderi Kristian Negeri diadakan di pejabatnya.

"Setakat yang saya tahu, ini adalah kali pertama kita bertemu dan membincangkan isu-isu seperti Islam dan Kristian.

"Ia adalah sangat bermanfaat kerana kedua-dua pihak berjaya membersihkan beberapa kekeliruan dan salah faham.

"Kita mesti mempunyai hubungan yang baik dengan menjelaskan kepada rakyat mengenai perbezaan di antara kita (Islam dan Kristian).

"Dalam mana-manw agama sekalipun, ia adalah semulajadi untuk berbeza, sebagaimana semua manusia jua mempunyai perbezaan antara satu sama lain," jelas beliau sambil melahirkan rasa gembira.

Sementara itu, Sebastian Francis melahirkan rasa bersyukur kerana usaha mewujudkan jambatan keharmonian di antara kedua-duanya agama subur di Pulau Pinang.

"Saya amat terharu dan kagum dengan Datuk Mufti dan komitmen pasukannya," tambah Sebastian Francis lagi.

Terdahulu, N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah memeluk Islam serta menukar status agama dua anaknya, tanpa kebenaran bekas isteri, S. Deepa yang masih beragama Hindu.

Susulan itu, Deepa menuntut hak penjagaan anak, Nabil (Mithran), 8, dan Sharmila (Nur Nabila), 11 di Mahkamah Sivil, bukan di Mahkamah Syariah.

Pada 7 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengarahkan hak penjagaan kedua-dua anak yang memeluk Islam diberikan kepada Deepa.

Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menyebabkan perintah Mahkamah Syariah pada awal tahun 2014 terbatal, iaitu hak penjagaan anak diberikan kepada Izwan yang memeluk Islam pada 2011.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Mei 2014 turut menolak permohonan penangguhan mualaf berkenaan untuk mengetepikan Penghakiman Mahkmah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anak itu kepada Deepa.

Manakala, di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu pula memutuskan bahawa Mahkamah Sivil adalah forum yang sesuai untuk memutuskan mengenai pembubaran perkahwinan dan penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif antara lain memberikan hak penjagaan anak berusia lapan tahun kepada bapa dan anak perempuan berumur 10 tahun kepada ibu.

Penghakiman itu sekaligus seakan memberi gambaran bahawa mahkamah syariah tiada kuasa hal penjagaan anak dan perkahwinan sivil sungguhpun membabitkan orang Islam, atas kepentingan awam.